Sesi Read & Relax, Siri 3/2023 anjuran Jabatan Perpustakaan UTM telah diadakan pada hari Khamis bersamaan 2 Mac 2023. Sesi ini disiarkan secara langsung di atas talian melalui platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM pada jam 11 pagi sehingga jam 12 tengah hari. Sesi ini telah disertai oleh 2 orang pengulas dan seorang moderator yang terdiri daripada staf Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ). Pengulas tersebut adalah Puan Nurul Jannah Roslan yang mengulas buku bertajuk The Miracle of Sleep dan Cik Wan Nurfarahusna Wan Yusof dengan bukunya yang bertajuk Light for The Lost Soul. Moderator pada kali ini adalah Pustakawan Puan Nas Rashidah Mohd Muztaza.

The Miracle of Sleep adalah hasil karya daripada seorang penulis yang telah pun menempa namanya di persada penulisan buku tempatan, iaitu Dr. Saraiza Abu Bakar yang telah menarik minat panel pertama, iaitu Puan Nurul Jannah Roslan. The Miracle of Sleep cuba menyampaikan kepada pembacanya di mana tidur sebenarnya terapi, bukan sekadar melepaskan lelah. The Miracle of Sleep mendedahkan kepada pembaca keajaiban tidur dan mengenal pasti penyakit berkaitan tidur yang sering menjejaskan tidur sekaligus mengurangkan fungsi tubuh untuk berjalan dengan baik pada siang hari.

Buku ini membincangkan tentang tidur secara saintifik dan praktikal supaya kita dapat menikmati manfaat tidur dengan optimum. Selain itu, buku ini dipersembahkan dalam bentuk infografik dan berharga RM 20 di Semenanjung Malaysia dan RM 22 bagi Sabah dan Sarawak. Buku ini telah diterbitkan pada tahun 2022 dan memuatkan sejumlah 11 bab.

Antara bab yang menjadi kegemaran panel adalah bab yang bertajuk keajaiban tidur. Buku ini juga turut berkongsi kebaikan mendapatkan tidur yang mencukupi adalah dapat mengurangkan stress, jauh dari penyakit dan dapat menurunkan berat badan manakala kesan apabila kurang tidur adalah sering merasa letih, mudah marah dan mudah hilang tumpuan. The Miracle of Sleep turut menceritakan kadar keperluan tidur bagi bayi berumur 0-3 bulan adalah 14-17 jam, 4-11 bulan adalah 12-15 jam. Bagi kanak-kanak dan remaja berumur 3-5 tahun adalah 10-13 jam, 6-13 tahun adalah 9-11 jam dan 14-18 tahun adalah 8-10 jam. Kadar keperluan tidur yang diperlukan oleh manusia dewasa yg berumur 25-65 tahun adalah 7-9 jam dan 70-90 tahun adalah 7-8jam.

Dr. Saraiza Abu Bakar turut berkongsi 7 jenis terapi untuk mengatasi kesukaran tidur dalam buku tersebut. Pengulas mengatakan kita hendaklah sentiasa mendisiplinkan diri untuk tidur pada waktu yang tepat dan menerima rawatan sekiranya mengalami kesukaran untuk tidur. Selain itu, pengulas juga menegaskan manfaat yang boleh diperolehi apabila membaca buku ini adalah dapat mengetahui tips dan langkah-langkah untuk mendapat tidur yang baik, mengetahui kadar keperluan tidur mengikut setiap lapisan umur dan mengetahui faktor dan punca berlakunya insomnia yang sering terjadi dalam kalangan masyarakat kita.

Kesimpulannya, buku ini sangat sesuai untuk dijadikan sebagai rujukan kerana pelbagai ilmu pengetahuan yang disampaikan dalam buku ini boleh dijadikan panduan kepada masyarakat.

Buku yang ke-2 pula berjudul Light for the Lost Soul, yang ditulis oleh seorang artis yang bukan sahaja terkenal di negara kita, bahkan juga di peringkat antarabangsa, iaitu  Shazrina Azman atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Mizz Nina.

Ia menceritakan tentang kembara rohaninya apabila beliau memutuskan untuk memulakan perjalanan mencari hidayah dan kedamaian. Baginya, ia bermula dengan proses perit memisahkan hati dari segala yang terpaut dengan duniawi dan akhirnya membaiki hati dengan harapan untuk mencapai redha. Jilid pertama ini digabungkan dengan renungan intim dan langkah terpandu yang mengajak pembaca mengambil tindakan berani menyelamatkan jiwa daripada selama-lamanya berada dalam keadaan tersesat.

Antara bab yang menjadi kegemaran pengulas adalah:

a) The travelling soul: “But there’s no hope for me- I’m not good enough”

b) Understanding the troubled heart: why is my heart empty?

c) Surrendering the heart and soul to Allah: yearning for approval and acceptance on social media

Buku yang berharga RM54 di Semenanjung Malaysia dan RM59 bagi Sabah dan Sarawak ini mempunyai 271 muka surat dan merupakan buku motivasi yang sangat sesuai dibaca ketika seseorang itu memerlukan sebuah dorongan untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik. Pengulas menyatakan bahawa buku ini sangat relevan kepada semua peringkat umur, digalakkan kepada pembaca yang mencari kedamaian yang sebenar dan buku ini boleh dijadikan sebagai contoh perjalanan hidup seseorang untuk mencari ketenangan. Selain itu, pengulas menegaskan realiti di dunia adalah sementara dan hanya di syurgalah tempat yang abadi. Kunci ketenangan hati adalah daripada Allah dan mestilah meninggalkan segala kelalaian di dunia.

Artikel disumbangkan oleh:

AMIRAH HAMIZAH BINTI ZAILANI
NURUL FASIHAH NADZIRAH BINTI ZULKARNAIN
NADZLIATUL NAZIFA IZDIHA BINTI HASHIM

Share this :