Program Book Talk@UTM Library Kuala Lumpur Siri 6 telah diadakan pada 8 Mac 2023. Untuk siri kali ini, 2 pengulas yang terlibat dalam perkongsian adalah Puan Sharifah Radhiah binti Syed Azman (Pustakawan Kanan) dan Muhammad Khairuddin bin Zainon (Pembantu Pustakawan).
Perkongsian dimulakan oleh Puan Sharifah Radhiah binti Syed Azman yang telah memilih buku berjudul Endometriosis : Suatu Enigma, Satu Harapan yang ditulis oleh Mohd Shukri Othman. Dalam perkongsian ini, penyampai berkongsi simptom yang dimiliki oleh pesakit Endometriosis. Antara simptomnya adalah sengugut, sukar mengandung, sakit sebelum, semasa dan adakalanya juga selepas haid, pendarahan atau tompokan darah antara haid, cirit-birit, kembung, sembelit dan sakit kaki.
Tambahnya lagi, kajian masih tidak dapat mencari punca sebenar Endometriosis ini, namun kajian menunjukkan ia semakin teruk disebabkan oleh estrogen. Penyampai turut berkongsi 4 kaedah rawatan untuk pesakit Endometriosis adalah ubat pelega kesakitan, rawatan hormon, pembedahan dan rawatan alternatif seperti terapi fizikal, akupunktur dan homeopati. Di akhir perkongsian, beliau menyatakan bahawa walaupun pesakit Endometriosis menjalani pembedahan, namun Endometriosis ini masih boleh berulang.
Perkongsian diteruskan lagi dengan Muhammad Khairuddin bin Zainon yang telah memilih buku bertajuk Jenis-Jenis Sujud dan Hukumnya (Dalam Solat) yang ditulis oleh Harun Arrasyid Haji Tuskan & Abu Urwah Abd Aziz. Menurut beliau, buku ini menyenaraikan 4 jenis sujud yang wajib diketahui oleh orang islam iaitu sujud solat, sujud sahwi, sujud tilawah dan sujud syukur.
Beliau menerangkan bahawa sujud solat adalah sujud yang terdapat dalam solat, manakala sujud sahwi atau dua sujud dilakukan untuk menggantikan kesalahan dalam solat disebabkan menambah, mengurangkan sesuatu atau dalam keadaan ragu-ragu. Seterusnya beliau menerangkan bahawa sujud tilawah adalah sujud yang dilaksanakan ketika membaca atau mendengar ayat-ayat Sajdah dalam al Quran. Manakala sujud syukur dilakukan ketika mendapat sesuatu kegembiraan, nikmat dan sebagainya sebagai tanda kesyukuran dan terima kasih diatas kebesaran Allah yang memakbulkannya.
Sebelum mengakhiri perkongsian, beliau menggalakkan agar pembaca mengambil peluang untuk membaca buku ini, kerana ianya dapat membantu menyemak semula ilmu pengetahuan dan mengukuhkan asas ilmu agama Islam dalam kehidupan kita.