Program Book Talk@Library Kuala Lumpur Siri 8 telah diadakan pada 18 April 2023 di Wisdom Lounge, Perpustakaan UTMKL. Seperti kebiasaannya, dua orang staf akan terlibat  dan kali ini, mereka ialah Puan Shamsuraini binti Shamsudin dan Encik Hairi bin Aziz. Moderator bagi sesi kali ini ialah Puan Aznurul Ain binti Abdul Shukor.

Perkongsian dimulakan oleh Puan Shamsuraini binti Shamsudin yang memilih buku bertajuk Desert Dawn yang ditulis oleh Waris Dirie, Jeanne D‘Haem. Buku biografi ini menceritakan kisah hidup penulis sendiri iaitu Waris Dirie. Dilahirkan pada 21 Oktober 1965 di sebuah kawasan gurun di Galkayo, Somalia. Nama pertama penulis sendiri iaitu Waris bermaksud “Desert Flower”. Merupakan seorang model, pengarang, pelakon dan juga aktivis hak asasi manusia dalam menangani Female Genital Mutilation (FGM).

Lahir dalam kalangan 12 orang adik-beradik, keluarga beliau hakikatnya hidup secara nomad. Penulis banyak menghabiskan masa kanak-kanaknya dengan menjaga ternakan keluarga.  Pada usia 5 tahun, beliau telah menjalani FGM dan pada umur 13 tahun beliau telah lari dari rumah setelah mendapat tahu akan dijodohkan dengan lelaki yang sebaya dengan datuk beliau.

Kerana kecantikan yang dimiliki, beliau telah menjadi peragawati pertama dari Afrika yang dapat menandatangani kontrak bersama Revlon. Selain memperagakan fesyen di Milan, Paris & New York, beliau juga turut menghiasi muka depan majalah-majalah fesyen terkenal seperti ELLE, Glamour & Vouge. Setelah bersara dari dunia peragaan, beliau meneruskan kerjaya dalam bidang penulisan buku. Sebagai seorang penulis, beliau memberi inspirasi & motivasi kepada para pembaca untuk menghadapi rintangan hidup & memperjuangkan hak-hak asasi manusia.

Perkongsian seterusnya oleh Encik Hairi bin Aziz yang memilih buku berjudul Rahsia C.O.M.E.L : Cara Seronok Didik Anak yang merupakan hasil karya Dr. Abidi Azhar Mohd Hussin. Menurut beliau, buku ini sesuai dijadikan panduan kepada ibu bapa yang baru pertama kali menerima cahaya mata mahupun kepada ibubapa yang mahu memperbaiki cara didikan kepada anak-anak mereka.

Menurut pengulas, buku ini dihasilkan penulis yang mempunyai pengalaman peribadi dibesarkan dalam keluarga besar dan mempunyai 7 orang adik-beradik. Penulis turut mempunyai pengalaman secara peribadi dalam mengendalikan perihal kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak semenjak tahun 1986.

Di dalam buku ini, penulis ada menyatakan bahawa pengalaman ‘pahit’ di zaman kanak-kanak sering dikaitkan dengan masalah pembelajaran, masalah tingkah laku dan ketidakseimbangan berat badan. Oleh itu, didikan anak-anak yang betul dan baik harus bermula sejak kecil lagi.

Buku ini mengetengahkan tentang langkah-langkah atau kaedah yang boleh diaplikasikan oleh para ibu bapa dalam mendidik anak-anak di mana penulis telah menghuraikan dengan mudah dan praktikal untuk dijadikan panduan. Kandungan buku dan huraian yang diberikan ringkas tetapi padat dan sesuai dibaca oleh semua golongan sebagai panduan.

Share this :