Pada Khamis, 9 November 2023 Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS) telah menerima kunjungan pelawat daripada Al-Wildan Islamic School, Indonesia. Sesi lawatan ini disertai oleh 109 pelajar termasuk 19 orang guru pengiring. Lawatan ini berlangsung selama satu (1) jam bermula dari 12 tengah hari sehingga 1 petang. Mereka telah dibahagikan kepada tiga (3) kumpulan untuk sesi lawatan ke setiap aras perpustakaan. Setiap kumpulan diiringi oleh staf bertugas di PRZS.

Para peserta telah dibawa melawat ke ruangan utama perpustakaan berserta dengan penerangan mengenai fasiliti yang disediakan oleh perpustakaan untuk penggunanya. Staf bertugas turut berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang koleksi perpustakaan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna perpustakaan.

Para pelawat turut berkesempatan mengunjungi Galeri Raja Zarith Sofiah di mana ia menempatkan koleksi peribadi Canselor UTM itu sendiri. Genre pembacaan yang pelbagai oleh Canselor UTM amat menarik perhatian para pelawat.

Lawatan ini merupakan salah satu usaha pentadbiran Al-Wildan Islamic School untuk memberi gambaran awal kepada para pelajarnya mengenai suasana dan budaya menuntut ilmu mahasiswa di universiti, sekaligus memberi inspirasi dan semangat kepada para pelajarnya untuk belajar bersungguh-sungguh dan melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Semoga dengan lawatan ini, para pelajar dari Al-Wildan Islamic School mendapat input yang berguna berkaitan perkhidmatan di perpustakaan di samping meningkatkan semangat menuntut ilmu mereka untuk kemajuan hidup di masa yang akan datang.

 

Laporan disediakan oleh:

Nurhanis Maisarah Abdul Mutalib, Pelajar Latihan Industri UiTM Rembau

Share this :