Pada 30 Ogos 2023 (Rabu), Kursus Speed Reading yang melibatkan semua staf Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PUTMKL) dan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Al-Ghazali, UTM Kuala Lumpur. Fasilitator yang terlibat adalah Puan Nurrull Huda Abdul Wahid yang merupakan Pustakawan Kanan di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.
Program yang diadakan selama satu hari ini, meliputi empat (4) sesi pengisian dan telah dihadiri oleh 18 orang staf di PUTM KL. Objektif utama kursus ini dilaksanakan adalah bertujuan memberikan pendedahan mengenai kaedah dan tips memupuk minat membaca dalam kalangan staf, memberi pendedahan kepada peserta mengenai pencarian bahan bacaan melibatkan sumber bercetak dan elektronik daripada sumber terbuka dan menerangkan tentang kaedah pembacaan cepat dan berkesan.
Pengisian dimulakan dengan maklumbalas daripada peserta berkenaan apa yang mereka mahukan untuk program kali ini. Peserta diminta untuk menjawab maklumbalas tersebut di platform menti.com.
Fasilitator meneruskan program dengan modul pertama iaitu “Tips Minat Membaca”. Di dalam modul ini beberapa perkara dihuraikan seperti kronologi pembacaan, kelebihan membaca buku, objektif membaca dan tips memilih buku untuk dibaca. Modul yang kedua adalah berkenaan “Demo Pencarian Bahan Sumber Terbuka” yang memberi pendedahan kepada peserta untuk mendapatkan bahan secara atas talian menggunakan sumber terbuka untuk dijadikan bahan bacaan.
Seterusnya, kursus diteruskan dengan modul “Tips Bacaan Cepat” yang merupakan topik utama bagi program ini. Di dalam modul ini, beberapa perkara telah dijelaskan kepada peserta seperti tabiat kepada pembacaan yang lambat, teknik psikologi yang boleh dipraktikkan secara praktikal, pembacaan yang berkesan, latih tubi pembacaan laju dan mengukur tahap kelajuan pembacaan. Modul yang terakhir adalah “Kaedah Pembacaan dan Peta Minda” di mana kaedah penyediaan peta minta diterangkan dan peserta diberi peluang untuk berkongsi buku bacaan pilihan masing-masing dengan mengaplikasikan kaedah peta minda yang telah diajar.
Keberkesanan program ini dapat dilihat apabila peserta berkongsikan hasil peta minda yang telah dibuat bersama perkongsian buku yang dipilih. Semoga program yang dilaksanakan ini dapat memberi ilmu baru kepada semua peserta yang hadir dengan mengaplikasikan teknik yang telah dikongsi dalam meningkatkan kaedah pembacaan yang cepat dan berkesan.