Program BookSharing@UTMKL Siri 1 bagi tahun 2024 telah diadakan pada 8 Februari 2024 (Khamis) jam 2.30 petang di Event Space Perpustakaan Sultanah Zanariah UTMKL (PSZKL) dan disiarkan secara langsung menerusi Facebook UTM Library Kuala Lumpur dan Youtube Perpustakaan UTM. Seperti kebiasaannya, dua (2) orang akan dijemput selaku panel pengulas. Panel yang telah dijemput adalah Encik Mohd Rushidi Shaari dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dan Encik Mohd Zaidi Othman dari PSZKL. Moderator untuk siri kali ini pula adalah Puan Sharifah Ezathul Imma Syed Zainal Abidin, Pustakawan Kanan, PSZKL.

Sesi book sharing ini dimulakan dengan panel pertama, Encik Mohd Rushidi dimana beliau telah memilih buku Mentaliti Jamban yang ditulis oleh Encik Khairul Abdullah. Menurut beliau walaupun buku ini diterbitkan pada tahun 2016, isi kandungan buku ini masih lagi releven dengan keadaan masa kini. Menurut beliau lagi, penyampaian di dalam buku ini ringkas dan sarat dengan maklumat serta dapat menggambarkan beberapa aspek tentang mentaliti masyarakat Malaysia berbanding masyarakat di Eropah, Jerman khususnya. Panel juga telah menyampaikan perkongsian dengan menggunakan slaid yang interaktif dan penuh dengan gambar yang mencerminkan realiti sikap segelintir rakyat Malaysia yang pentingkan diri terutamanya isu parkir, penggunaan signal ketika memandu, sampah sarap dan juga tandas awam. Selain itu, buku ini turut mengajak pembaca untuk memeriksa pemikiran dan tindakan mereka sendiri, apakah sudah memiliki mentaliti yang baik atau masih seperti “jamban”.


Seterusnya, perkongsian diteruskan oleh panel yang kedua iaitu Encik Mohd Zaidi Othman yang telah memilih buku bertajuk Faktor Adab Dalam Meraih Berkat Ilmu, yang ditulis oleh Kiyai Haji Muhammad Hasyim Asy’ar. Kedua-dua buku ini mempunyai tema yang agak sama iaitu mengenai adab dan sikap. Panel memulakan perkongsian dengan sabda Rasulullah s.a.w “Mencari ilmu pengetahuan adalah wajib bagi setiap muslim baik lelaki mahupun perempuan”. Allah akan mengangkat darjat ahli ilmu (ulama) yang sentiasa mengamalkan ilmu pengetahuan yang mereka miliki. Amalan seseorang atas ilmu pengetahuan menjadikan kehidupan bermanfaat di dunia dan akhirat. Panel turut memberi penerangan mengenai perbezaan antara adab dan etika. Menurut panel, adab adalah budi pekerti yang halus atau tingkah laku yang baik dimana adab lebih kepada hubungan kita dengan pencipta dan juga orang yang lebih tinggi ilmunya manakala etika adalah hubungan baik sesama manusia. Selain itu, panel juga menerangkan terdapat pelbagai adab antaranya ialah adab menuntut ilmu. Antara yang dikongsikan dalam buku ini adalah membersihkan hati daripada pelbagai penyakit hati, membangun niat yang luhur, mencari ilmu hanya untuk meraih redha Allah, bersegera dan tidak menunda waktu dalam menuntut ilmu pengetahuan serta redha dan sabar menghadapi kesukaran hidup dalam mencari ilmu dan yang terakhir memanfaatkan waktu tanpa sedikitpun menyia-nyiakan.

Seterusnya, panel menerangkan antara etika pelajar terhadap guru yang disampaikan dalam buku ini ialah bersungguh-sungguh dalam mencari seorang guru mahir dan diperakui keahliannya oleh guru-guru lain, memiliki pandangan yang mulia terhadap guru serta meyakini akan darjat kesempurnaan gurunya dan mengerti akan hak-hak seorang guru serta tidak melupakan jasa-jasanya.

Di akhir sesi, moderator telah menutup program book sharing ini dengan rumusan yang ringkas berserta promosi program K-Sharing Perpustakaan yang akan diadakan pada 14 Februari nanti. Jumlah penonton hampir mencecah 200 dan ianya kekal sehingga penghujung program.

Share this :