Pada 27 Februari 2024 (Selasa), telah berlangsung dengan jayanya Program Bicara Karya di Event Space, Aras 2, Perpustakaan UTMKL. Program ini dianjurkan oleh Perpustakaan Sultanah Zanariah UTMKL (PSZKL) bersama UTMKL Book Club. Acara ini dimeriahkan dengan jemputan khas iaitu Tan Sri Datuk Dr. Ahmad Zaharudin Idrus yang merupakan Felo Utama, Falkuti Teknologi & Infomatik Razak, UTMKL. Dr. Rahayu Tasnim, selaku moderator merupakan Pensyarah Kanan, Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) UTMKL juga merupakan ahli UTMKL Book Club.
Buku yang menjadi pilihan panel bagi sesi ini ialah The Accidental Further Adventures of The Hundred-Year-Old Man yang ditulis oleh Jonas Jonasson. Buku ini mengisahkan siri kembara tak terduga Allan Karlsson, seorang lelaki yang berusia 100 tahun. Selepas kejadian dalam buku sebelumnya The 100-Year-Old Man Who Climbed Out the Window and Disappeared, Allan dan rakan baiknya, Julius Jonsson, tanpa sengaja terlibat dalam peristiwa yang melibatkan agen rahsia dan kekacauan politik. Melibatkan tokoh sejarah yang terkenal, kisah ini membawa pembaca pada pengembaraan yang penuh kejutan dan memiliki elemen humor yang seronok untuk dibaca.
Tan Sri turut berkongsi bagaimana buku tersebut memberi impak yang besar kepada beliau dan merasakan dekat dengan peribadi beliau selepas membacanya. Tan Sri juga berkongsi mengenai pengalaman peribadi beliau semasa berkhidmat sebagai Penasihat Sains kepada Perdana Menteri.
Pada penghujung program, Tan Sri telah memberi nasihat kepada golongan muda agar jangan terlalu selesa dengan teknologi yang terlalu memudahkan kehidupan seharian, seseorang perlu belajar untuk lebih kreatif dan kritis dalam membuat sesuatu pekerjaan berbanding bergantung dengan kemudahan teknologi seperti AI dan laman carian di internet.
Selepas sesi perkongsian selesai, Tan Sri bersama tetamu turut mengunjungi Pameran Ahmad Zaharudin: Rimbun Cendekiawan yang berlangsung di Ruang Pameran. Pameran ini mengetengahkan perjalanan kerjaya dan peribadi Tan Sri sepanjang berkhidmat sebagai Naib Canselor UTM. Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan kepada kita semua.