23 April 2024, Selasa – Selesai sudah Program Knowledge Sharing: Peranan Media Massa Menggalakkan Budaya Membaca Dalam Era Digital yang diadakan bersempena Program Jom Baca bersama 10 Minit. Program yang bersiaran selama satu (1) jam ini diadakan secara langsung di Read Cafe He & She, Menara Razak UTM Kuala Lumpur dan turut disiarkan secara langsung di akaun rasmi Facebook Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.


Program ini membawakan tetamu istimewa iaitu Encik Muhammed Ahmad Hamdan yang juga merupakan Personaliti TV3. Beliau menekankan perbezaan antara generasi dahulu dan generasi sekarang. Menurut beliau, budaya membaca perlu dimulakan dari rumah dan pentingnya peranan ibu bapa itu sendiri untuk membudayakan sikap suka membaca. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dalam memastikan generasi pada masa akan datang adalah lebih baik berbanding pada masa dahulu.


Ketika waktu kecilnya, beliau lebih meminati buku yang mempunyai genre seram, namun kini genre bacaan beliau telah berubah ke autobiografi yang menceritakan pengalaman dan realiti kehidupan penulis atau orang lain yang dipersembahkan dalam bentuk buku. Selain itu, beliau turut memilih untuk membaca artikel dalam bidang kewangan, pasaran saham dan sebagainya, sesuai dengan kehendak kerjaya beliau. En Muhammed juga  aktif menulis di media sosial dan beliau akan menulis topik yang beliau minati dan kerana itulah beliau perlu membuat pembacaan terlebih dahulu.

Dengan arus perubahan teknologi, tabiat membaca dalam kalangan masyarakat juga berubah. Jika dahulu kita semua membaca bahan bercetak, kini semua bahan bacaan boleh didapati dalam bentuk digital dan lebih mudah diakses tidak kira di mana sahaja kita berada. Sama ada kita suka atau tidak, setiap orang perlu mengikut peredaran zaman dan menurut Encik Muhammed semua bahan bacaan digital bukan sahaja menawarkan kemudahan akses, tetapi juga memperkayakan pengalaman pembaca dengan pelbagai ciri interaktif. Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini dan memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan budaya membaca dan ilmu pengetahuan dalam masyarakat.


Pendapat beliau mengenai perbandingan pemilihan bacaan antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah bahawa pembacaan dalam bahasa Inggeris memerlukan usaha yang lebih, dimana perlu menyediakan kamus bahasa Inggeris semasa membaca buku berbahasa Inggeris. Ini kerana kamus adalah salah satu bahan yang dapat membantu kita dalam pemahaman jalan cerita yang disampaikan. Selain itu, beliau percaya bahawa seseorang yang pandai menulis mendapat manfaat yang besar daripada pembacaan, dan kebolehan menulis lebih berkembang melalui pembacaan berbanding sekadar kebolehan menulis secara sendirian tanpa rujukan bacaan.

Akhir kata, adalah diharapkan bahawa perkongsian ini dapat membantu membuka minda kita dengan lebih luas dan mendalam. Semoga kita semua dapat bersama-sama memupuk minat membaca secara berterusan, sambil menyelaraskan aktiviti membaca dengan peredaran dan perkembangan era digital pada masa kini.

Share this :