9 Mei 2024, Khamis – Kursus Pengendalian Lawatan Berpandu Akademik telah diadakan di Bilik Seminar 2, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Kursus ini dikendalikan oleh Puan Sharifah Radhiah Syed Azman dari Unit Promosi, bertujuan untuk memperkasa kemahiran staf dalam mengendalikan lawatan berpandu akademik di perpustakaan.
Perpustakaan UTM telah lama dikenali sebagai salah satu tarikan utama bagi para pelawat yang berkunjung ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Ia sedikit sebanyak dapat memberi gambaran kepada para pelawat mengenai usaha yang dijalankan oleh pihak universiti dalam memelihara koleksi ilmu pengetahuan dan khidmat runding-rujuk yang berkesan kepada para pengguna, khususnya mahasiswa. Menyedari pentingnya peranan perpustakaan dalam memberikan maklumat dan pengalaman terbaik kepada pelawat, kursus ini dianjurkan untuk memperkaya pengetahuan staf mengenai UTM dan juga semua seksyen serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh perpustakaan untuk memudahkan sesi penerangan oleh staf kepada pelawat semasa bertugas.
Sepanjang kursus ini diadakan, para peserta diberikan pendedahan menyeluruh mengenai struktur organisasi perpustakaan, serta pelbagai sumber dan fasiliti yang tersedia. Selain itu, kursus ini juga menekankan penyampaian maklumat dengan berkesan dan cara berinteraksi yang profesional dengan pelawat. Puan Sharifah Radhiah menekankan bahawa keyakinan dan kemahiran komunikasi adalah elemen penting dalam mengendalikan lawatan berpandu akademik yang berjaya.
Melalui modul yang dijalankan, staf dilatih untuk menjadi lebih yakin dalam menyampaikan taklimat dan berinteraksi dengan pelawat dari pelbagai latar belakang. Aktiviti-aktiviti ini juga bertujuan untuk meningkatkan keterampilan mereka dalam menguruskan pertanyaan dan memberikan jawapan yang tepat serta komprehensif.
Kursus ini diharapkan dapat memberikan manfaat yang besar kepada semua peserta, membantu mereka menjadi lebih dinamik dan efektif dalam tugas harian mereka. Dengan peningkatan kemahiran ini, staf perpustakaan akan lebih bersedia untuk memberikan layanan terbaik kepada pengguna perpustakaan, sekaligus memperkukuhkan imej UTM sebagai institusi yang berprestij dan inovatif.