15 Mei 2024, Selasa – Bengkel Pengenalan & Kaedah Pemuliharaan Buku dan Majalah Siri 1/2024 telah diadakan bermula dari jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 4.30 petang. Bengkel secara dalaman ini telah dikendalikan oleh dua (2) orang pembantu pustakawan iaitu Encik Shaharudin Ali dan Encik Muhammad Khairuddin Zainon di Bilik Perbincangan MPM, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah Kuala Lumpur (PSZKL).
Tujuan bengkel ini diadakan adalah kerana umum mengetahui bahawa fungsi perpustakaan itu sendiri adalah menyimpan dan mengumpul pelbagai koleksi sumber maklumat selain dari memberikan perkhidmatan. Oleh itu, bahan-bahan yang ada perlu dipelihara dengan cara dan kaedah yang betul sekaligus pengguna perpustakaan dapat memanfaatkan bahan yang ada secara berterusan.
Sepanjang bengkel ini diadakan, staf perpustakaan telah didedahkan mengenai jenis-jenis peralatan yang digunakan sepanjang proses pemeliharaan dan pemuliharaan bahan. Selain itu, staf ditunjukkan demo untuk menjilid majalah yang bersiri. Ia dimulai dengan penyusunan bahan mengikut siri, proses membuat lubang bagi memudahkan proses jahit, proses jahitan dan berakhir dengan proses membalut bahan. Tumpuan 100 peratus diberikan kepada sesi demonstrasi yang dilakukan oleh staf Unit Jilid, ini disebabkan para peserta perlu melakukan proses jilid yang seterusnya dalam bentuk kerja berkumpulan.
Di akhir bengkel, setiap peserta berjaya menghabiskan tugasan yang diberikan dan ini menunjukkan objektif bengkel ini tercapai. Semoga ilmu yang diperoleh ini akan dimanfaatkan bukan sahaja hari ini, tetapi juga di masa akan datang.