16 Mei 2024, Khamis – Program BookSharing@UTMKL 2024 Siri 5 telah diadakan di Perpustakaan Sultanah Zanariah UTMKL (PSZKL) dan disiarkan secara atas talian melalui platform Facebook UTM Library Kuala Lumpur dan juga Youtube UTM Library TV. Dua (2) orang pengulas telah dijemput untuk memberikan perkongsian mengenai bahan bacaan mereka. Pengulas pertama ialah Puan Aini Dayana Md. Ali, Penolong Pendaftar di Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), dan Encik Ahmad Iman Abdul Aziz, Pembantu Tadbir di Pusat Islam UTM Kuala Lumpur. Moderator bagi sesi kali ini ialah Puan Sarasyima Salleh, Pustakawan Kanan PSZKL.
Perkongsian dimulakan oleh Puan Aini Dayana Md. Ali, yang memilih buku berjudul Kaunseling Remaja karya Noraini Ahmad. Menurut beliau, penulis buku ini menerangkan secara mendalam mengenai cabaran yang dihadapi oleh golongan remaja dalam kehidupan mereka. Selain itu, penulis juga memberikan panduan praktikal kepada para kaunselor tentang kaedah terbaik untuk berinteraksi dan membantu remaja mengatasi masalah mereka.
Penulis mengetengahkan lima (5) aspek utama perkembangan remaja dalam bukunya: fizikal, emosi, mental, sosial, dan moral. Aspek fizikal menunjukkan pertumbuhan yang mendadak bagi seseorang remaja. Aspek emosi atau perasaan memainkan peranan besar dalam kehidupan remaja, bahkan lebih berpengaruh daripada fikiran rasional. Dari sudut pertumbuhan mental, remaja yang mencapai usia 16 tahun akan mencari sebab-musabab kepada sesuatu persoalan melalui pemerhatian, bukan sekadar andaian. Pertumbuhan sosial mereka dipengaruhi oleh hubungan kekeluargaan, rakan-rakan, serta masyarakat. Aspek terakhir, iaitu proses pertumbuhan moral, seharusnya dilihat sejak peringkat kanak-kanak lagi kerana adalah sukar untuk membentuk moral pada peringkat pertengahan dan lewat remaja.
Menurut pengulas, penulis buku ini menyimpulkan bahawa usia remaja adalah usia peralihan yang penuh dengan pelbagai kesukaran yang boleh menggoncang jiwa mereka. Didikan yang sewajarnya perlu diberikan kepada remaja seawal peringkat kanak-kanak. Pada peringkat remaja, mereka perlu bersedia menghadapi cabaran dan dugaan masa hadapan.
Pengulas kedua, Encik Ahmad Iman Abdul Aziz, memilih buku bertajuk Amalan 24 Jam Dalam Kehidupan Rasulullah s.a.w hasil tulisan Zulkarnain Dollah. Menurut beliau, buku ini memperincikan amalan harian Rasulullah s.a.w. yang boleh dijadikan amalan dan ikutan oleh umat Islam. Mengamalkan perkara-perkara sunnah dalam kehidupan seharian boleh membawa kebahagiaan dan ketenangan hati. Walaupun Rasulullah s.a.w. telah lama meninggalkan kita, keperibadiannya tetap menjadi panduan sebagai contoh teladan terbaik untuk menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba.
Menurut pengulas, buku ini memudahkan para pembaca untuk meneladani amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Para sahabat Baginda adalah contoh terbaik sebagai Muslim sejati yang berlumba-lumba mengamalkan sunnah Baginda, walaupun sekecil-kecil amalan. Antara contoh sunnah yang diketengahkan dalam buku ini ialah sunnah ketika menunaikan solat. Mendirikan solat, yang merupakan ibadah wajib umat Islam, perlulah mengikuti tatacara pelaksanaannya yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Oleh itu, buku ini membantu dalam memahami perkara-perkara sunnah yang boleh kita ikuti untuk memperbaiki ibadah solat kita, sekaligus menepati sunnah yang dilakukan oleh nabi kita.
Kesimpulannya, buku ini boleh menjadi inspirasi kepada pembaca Muslim dalam menjalani kehidupan berlandaskan ajaran nabi. Ia juga boleh menjadi pencerahan kepada pembaca bukan Muslim mengenai kemuliaan akhlak Nabi Muhammad s.a.w. dan ketertiban hidup yang diajar baginda kepada kita semua.