Siri ketiga bagi Program Ijtihad Pustaka yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) telah menampilkan panel jemputan iaitu Ustaz Haji Abdul Salam bin Ali, Penolong Pengarah Kanan, Unit Kurikulum Rendah, Sektor Pengurusan Akademik Agama Islam Negeri Johor manakala moderator pada sesi ini ialah Encik Syafiq Zulakifli, Pensyarah, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim. Program ini diadakan pada 27 Mac 2024 (Rabu) dan telah disiarkan secara eksklusif melalui laman rasmi Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM.


Panel telah mengupas buku bertajuk Disiplin Puasa dalam Sekolah Ramadan yang ditulis oleh Kamarul Azmi bin Jasmi dan Mohd Aris bin Jasmi. Panel menerangkan buku ini ditulis dalam Bahasa Arab. Ianya di panggil Madrasah Ramadhan bagi mengetengahkan konsep “sekolah Ramadan” yang mendidik umat Islam menghayati hikmah pensyariatan puasa yang terkandung dalam kurikulum puasa itu sendiri. Penerangan dalam buku yang berkaitan dengan puasa ini mencakupi pengertian, syarat, rukun, perkara yang membatalkan puasa, perkara sunat dan perkara makruh. Selain itu, dinyatakan juga cara penetapan bulan Ramadan, keuzuran yang mengharuskan berbuka puasa dan kesan meninggalkan puasa. Kandungan buku ini dilengkapkan lagi dengan perbincangan lanjut mengenai jenis puasa sunat, makruh dan haram.


Seterusnya panel menerangkan bahawa ibadah puasa di bulan Ramadan merupakan ibadah wajib yang terdapat di dalam rukun Islam. Ia adalah bulan dimana umat Islam diwajibkan melaksanakan rukun Islam ketiga, iaitu ibadah puasa, bermula dari waktu terbit fajar (subuh) sehingga terbenamnya matahari (maghrib). Ia wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang telah memenuhi syarat wajib puasa selama 30 hari di bulan Ramadan. Kewajiban berpuasa ini telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”

Buku ini memberi panduan lengkap mengenai pengisian bulan Ramadan seperti solat Tarawih, solat Witir, amalan iktikaf dan amalan-amalan lain pada malam Lailatulqadar. Terdapat banyak manfaat dan kelebihan dari pelbagai aspek seperti rohani, jasmani, emosi dan intelektual. Ibadah puasa juga mengajar umat Islam erti kesederhanaan hidup, menjauhi sikap boros dan mebazir serta melatih jiwa agar lebih prihatin terhadap golongan fakir miskin.


Pada akhir sesi, panel menyimpulkan bahawa ibadah puasa merupakan salah satu cara umat Islam mengabdikan diri kepada Allah SWT bagi mencapai ketakwaan dan redha Ilahi, seterusnya memperoleh kemenangan hakiki berupa ganjaran syurga di akhirat. Semoga Ramadan tahun ini lebih baik dan bermakna dari tahun-tahun yang lalu dan kita dapat melaksanakan ibadah puasa dengan sempurna.

Share this :