3 Julai 2024, Rabu – Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) telah menganjurkan Kursus Pedagogy of Research Methodology for Librarian yang bertempat di Bilik Seminar 3, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah UTMJB. Kursus ini melibatkan semua pustakawan dari Jabatan Perpustakaan UTM termasuk dari UTM Kuala Lumpur. Kursus yang diadakan secara hibrid (fizikal & atas talian) ini telah menjemput YBrs. Profesor Ts. Dr. Zaidatun binti Tasir dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTMJB selaku fasilitator kursus.
Kursus ini diadakan dengan tujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan yang komprehensif kepada para peserta mengenai strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk disesuaikan dalam metodologi penyelidikan bagi membantu para pelajar dan juga penyelidik. Ia merangkumi pendekatan pedagogi, amalan terbaik dalam pengajaran, aktiviti pembelajaran, dan kaedah penilaian. Peserta kursus telah diajar mengenai teknik-teknik khusus untuk memudahkan sesi penyampaian di dalam bengkel metodologi penyelidikan yang dikendalikan oleh pustakawan dan juga meningkatkan kualiti pengajaran untuk memenuhi keperluan pembelajaran kontemporari.
Sesi ini dimulakan dengan pembentangan dari Profesor Dr. Zaidatun yang memberi tumpuan kepada pengenalan, definisi dan ciri-ciri serta jenis penyelidikan. Terdapat dua (2) jenis penyelidikan utama iaitu descriptive research dan analytical research. Selain itu turut diterangkan tentang jenis-jenis pendekatan penyelidikan (research approach). Setiap jenis penyelidikan dan research approach sangat terkait rapat dan sekiranya ditentukan daripada awal para penyelidik tidak akan tersasar dalam merangka penyelidikan mereka.
Pada sesi petang, para peserta dibahagikan kepada lima (5) kumpulan dan ditugaskan untuk menyediakan slaid dan nota bagi subjek Research Methodology (RM) termasuk pustakawan yang berada di PSZKL. JPUTM telah mempunyai slaid yang menyokong kepada RM, dengan itu, slaid yang ada telah ditambah baik berdasarkan perbincangan pada sesi ini. Terima kasih diucapkan kepada Profesor Dr. Zaidatun diatas perkongsian ilmu dan segala nasihat yang diberikan. Semoga ilmu yang dikongsikan dapat dipanjangkan manfaatnya kepada semua pengguna JPUTM.