21 Julai 2024, Ahad – Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PSZKL) telah menerima kunjungan lawatan daripada pemeriksa luar bersempena dengan audit tahunan bagi Program Sarjana Senibina PESISIR. Lawatan yang bermula pada jam 1.00 petang itu telah diwakili oleh Profesor Dr. Ahmad Sanusi Hassan dan Encik Nazlan Baharudin dan diiringi oleh lapan (8) orang pengiring.

Pegawai bertugas yang mengiringi para pelawat adalah Puan Sharifah Radhiah Syed Azman, Pustakawan Kanan, PSZKL. Beliau turut menyampaikan taklimat ringkas berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh perpustakaan dan juga mengenai koleksi bahan rujukan bagi subjek senibina yang terdapat di PSZKL. Para pelawat turut diiringi oleh pegawai bertugas ke lokasi di mana bahan-bahan tersebut ditempatkan.

Jumlah koleksi bahan rujukan untuk subjek senibina yang terdapat di perpustakaan ini adalah usaha dan komitmen yang berterusan oleh pihak pengurusan PSZKL dalam memastikan para pelajar mendapat akses kepada rujukan yang luas dan mencakupi kesemua subjek yang mereka ambil di samping juga bahan-bahan berbentuk digital seperti jurnal atas talian dan juga e-book.

Diharapkan agar maklumbalas yang diberikan oleh delegasi lawatan kali ini dapat membuka ruang dan peluang untuk pihak PSZKL membantu dalam menambahbaik koleksi rujukan yang ada di samping bersedia membantu pelajar-pelajar PESISIR dalam menyiapkan tugasan mahupun projek-projek penyelidikan mereka yang berkaitan. PSZKL mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kehadiran delegasi lawatan ke PSZKL pada kali ini.

Share this :