BACHOK, 8 September 2024 – Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (PSZKL) dengan kerjasama Pejabat Pelestarian Kampus UTM (UTMCS) Kuala Lumpur, Badan Kebajikan Staf UTM (BAKES), telah menganjurkan program khidmat masyarakat di SK Bukit Marak, Bachok Kelantan pada 6 hingga 8 September 2024. Program yang berlangsung selama tiga (3) hari ini bertujuan untuk memberi sokongan kepada pengawas pusat sumber sekolah, khususnya murid Tahap 2, serta membina kerjasama dalam memantapkan pengurusan pusat sumber sekolah.

Program turut dihadiri oleh Profesor Ir. Dr. Abd Latif bin Saleh, Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur) dalam menyokong aktiviti komuniti ini yang diadakan sebagai maklumbalas kepada permintaan Profesor Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Bin Mohamed, Ahli Lembaga Pengarah UTM, untuk menjalankan aktiviti khidmat masyarakat di sekolah tersebut.

Dalam usaha menyantuni komuniti setempat, program ini turut memberi fokus kepada pembinaan sudut UTM Reading Station di Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Bukit Marak serta menganjurkan program literasi maklumat kepada pelajar-pelajar sekolah. Aktiviti ini selaras dengan konsep kelestarian kampus yang melibatkan masyarakat luar dan memperluas peranan sosialnya serta mewujudkan hubungan yang lebih erat antara universiti dan masyarakat. Program ini turut menyokong Agenda 2030 untuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), terutamanya SDG4 (Kualiti Pendidikan) dan SDG17 (Rakan Kerjasama untuk Matlamat).

Seramai empat (4) orang wakil staf dari PSZKL yang terlibat. Antaranya ialah Puan Sharifah Radhiah binti Syed Azman, dan Puan Sharifah Ezathul Imma binti Syed Zainal Abidin, Pustakawan Kanan. Turur bersama, Encik Ahmad Khairu Mahfuz Mamat dan Encik Muhammad Hanis Rahim, Pembantu Pustakawan.

Beberapa aktiviti telah dirangka oleh PSZKL kepada Pusat Sumber sekolah tersebut. Pada hari Sabtu, program bermula dengan pembangunan sudut UTM Reading Station, yang merupakan ruang membaca yang telah dijenamakan semula oleh Perpustakaan UTM. Pada masa yang sama, pustakawan bertugas turut memberikan penerangan kepada Puan Norhayati binti Rasid selaku Guru Pusat Sumber sekolah mengenai kaedah pengelasan bahan serta penggunaan OPAC Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk memudahkan pengurusan bahan-bahan bacaan.

Program Literasi Maklumat yang menjadi teras utama program ini telah diadakan pada hari Ahad, bermula pada jam 8.30 pagi, khusus untuk Pengawas Pusat Sumber Sekolah. Seramai 40 orang peserta Tahap 2 telah menyertai program ini. Mereka menunjukkan minat dan tumpuan penuh sepanjang program. Sesi pertama dikendalikan oleh Puan Sharifah Radhiah, yang berkongsi mengenai tugas dan kerjaya sebagai pustakawan. Selain itu, beliau turut memberi pendedahan tentang literasi maklumat dan digital yang penting dalam dunia pendidikan hari ini.

Sesi seterusnya disampaikan oleh Puan Sharifah Ezathul Imma. Beliau menerangkan secara mendalam mengenai pengelasan subjek, cara menyusun buku dengan betul, serta kaedah pengurusan pusat sumber yang lebih sistematik. Para pelajar turut diberikan soal selidik sebelum dan selepas sesi bagi mendapatkan maklum balas mengenai kefahaman mereka terhadap kandungan program.

Acara kemuncak program adalah penyerahan Sudut UTM Reading Station kepada pihak sekolah, yang disempurnakan oleh Profesor Ir. Dr. Abd Latif bin Saleh Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur) dan Profesor Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Bin Mohamed kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Marak. PSZKL turut menyumbangkan bahan bacaan sekolah rendah, berteraskan subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) untuk membantu pelajar memperluas pengetahuan mereka dalam bidang-bidang penting yang relevan dengan perkembangan teknologi dan dunia pendidikan moden.

Keseluruhan program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Pengawas Pusat Sumber Sekolah sahaja, malah turut membantu memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan perpustakaan dalam usaha memupuk semangat cintakan ilmu dan literasi maklumat di kalangan generasi muda.

Share this :