5 November 2024, Selasa – Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) sinergi bersama Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Selatan (PPMKS) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menyampaikan sumbangan berbentuk 50 naskhah bahan bacaan kepada Pusat Sumber Baitul Hikmah, Kolej Vokasional Temerloh.
Penyerahan sumbangan bahan bacaan telah disempurnakan oleh Puan Zafarina Dol, Ketua Seksyen Pengurusan Koleksi kepada guru Pusat Sumber Baitul Hikmah, Kolej Vokasional Temerloh. Bahan bacaan yang disumbangkan terdiri daripada pelbagai bidang seperti sains, teknologi, motivasi dan keagamaan.
Inisiatif ini adalah bertujuan untuk menyokong pembudayaan membaca dalam kalangan warga kolej selain mempelbagaikan genre bahan bacaan yang sedia ada di perpustakaan mereka. Semoga bahan bacaan ini memberi manfaat kepada semua dan seterusnya ilmu yang diperoleh dapat melahirkan generasi yang berfikiran terbuka, kreatif, dan proaktif dalam menyumbang kepada pembangunan negara.