Program BookSharing @UTMKL 2024 untuk Siri 14 telah diadakan pada 14 November 2024 (Khamis). Untuk sesi kali ini, dua (2) orang pengulas telah dijemput untuk berkongsi bahan bacaan mereka iaitu Encik Rosshainie Hamzah, Penolong Jurutera, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dan Encik Ahmad A. Nazim Abu Bakar@ Md Amin, Penolong Jurutera, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan).
Untuk memulakan program, Encik Riza’ Aizat Adib selaku moderator, telah menjemput Encik Rosshainie Hamzah untuk mengulas buku Penawar dan Penyucian Jiwa, karya Dr. Ahmad Faried. Menurut beliau, buku ini merupakan gabungan elemen rohani dan psikologi yang bertujuan membantu pembaca memahami serta mengatasi cabaran kehidupan melalui pendekatan penyucian jiwa. Penulis juga menjelaskan kepentingan usaha membersihkan hati dan jiwa dalam mencapai kebahagiaan serta ketenangan sejati.
Pengulas turut menyatakan bahawa isi kandungan buku ini boleh membantu pembaca untuk memulakan langkah dalam menjauhi sifat-sifat negatif seperti keangkuhan, kedengkian dan kemarahan, serta mengembangkan sifat-sifat positif seperti kesabaran, kerendahan hati, dan rasa syukur. Selain itu, penulis buku ini turut menggalakkan pembaca menanamkan nilai-nilai murni yang selaras dengan ajaran agama dan psikologi moden bagi memelihara keharmonian diri, keluarga dan masyarakat.
Di akhir perkongsian, pengulas mencadangkan agar buku ini dibaca oleh semua khalayak umur kerana buku ini adalah panduan yang sangat berguna bagi mereka yang ingin memperbaiki diri, mencapai kedamaian dalam hidup serta mencari penyelesaian kepada permasalahan dalaman yang sering mengganggu ketenangan jiwa.
Program diteruskan lagi dengan perkongsian buku dari Encik Ahmad Nazim A Bakar@Md Amin yang memilih buku Kenal, Dekat Akhirnya Jatuh Cinta Pada Al Quran yang ditulis oleh Hana Hanifah. Menurut pengulas, buku ini mengajak pembacanya untuk memahami dan merasa dekat dengan Al-Qur’an, bukan hanya sebagai kitab suci yang diimani oleh kaum Muslimin, tetapi juga sebagai panduan hidup yang penuh dengan kebijaksanaan, kedamaian, dan cinta. Buku ini ditulis dengan pendekatan yang mudah difahami, memudahkan pembaca dari pelbagai latar belakang untuk mengenali lebih dekat keindahan dan pengisian yang terkandung dalam Al-Qur’an.
Menurut pengulas lagi, Al-Qur’an telah diturunkan sebagai kalamullah untuk kita mempelajarinya serta memahaminya. Selain itu, Al-Qur’an merupakan sebuah mukjizat agung turut membawa manfaat kepada mereka yang membacanya dalam memperoleh ketenangan jiwa, terutama buat mereka yang sedang mengalami masalah, kegelisahan dan sebagainya.
Oleh itu, pengulas mengajak para penonton dari kalangan Muslimin untuk rajin membaca Al-Quran. Pengulas turut mencadangkan kepada mereka yang baru hendak memulakan langkah dalam membaca Al-Quran sebagai amalan rutin untuk membaca sebanyak satu muka surat setiap hari. Kesimpulannya, buku ini membawa isi yang menyeru kepada para pembacanya untuk mendekati Al-Quran dan jadikan pembacaan ia sebagai amalan rutin bagi seorang Muslim.