Pada 19 Disember 2024 (Khamis), Jabatan Perpustakaan UTM telah menganjurkan Program Read & Relax Siri 21/2024 yang disiarkan secara langsung melalui platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Program bermula pada jam 11.00 pagi sehingga jam 12.00 tengah hari. Panel pengulas jemputan pada kali ini adalah Puan Saadiah Binti Ali, Ketua Pegawai Eksekutif, Penterjemah dan Editor, Jejak Tarbiah Publishing dan saudari Luna Liya. Moderator pada kali ini ialah Puan Norsyuhada binti Shafie, Pustakawan Kanan, Jabatan Perpustakaan UTM.

Program dimulakan dengan panel pertama iaitu Puan Saadiah dengan bukunya berjudul “Leaving Microsoft to Change The World”. Buku hasil karya John Wood ini menceritakan tentang perjalanan hidup beliau sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat gergasi perkomputeran dunia iaitu Microsoft yang memilih untuk meninggalkan kemilau sinar kerjayanya yang dicemburui banyak pihak demi untuk memberi sesuatu kepada dunia – gedung ilmu.

Kembaranya ke Nepal menginspirasikan dirinya untuk membangunkan sebuah perpustakaan dengan konsep Room to Read. Seperti mana yang kita sedia maklum, dunia pembacaan mampu membuka minda manusia seluas-luasnya meskipun terhimpit di sebuah tempat yang serba kekurangan dan jauh dari akses kemajuan. Justeru, inisiatif yang digerakkan oleh John Wood ini telah membuka mata banyak pihak bahawasanya hakikat memberi manfaat kepada manusia lain itu tidak akan pernah merugikan. Meskipun pulangan bersifat duniawi tidak seberapa, namun ia menyuburkan rohani seorang manusia daripada bersifat pentingkan diri dan mengambil berat di atas kesusahan manusia lain.

Buku ini mampu memberi inspirasi kepada para pembaca bahawa kerjaya yang megah dan hebat itu boleh dimanfaatkan hasilnya untuk kebaikan orang lain.

Panel kedua iaitu Saudari Luna Liya telah memilih buku tulisannya sendiri yang bertajuk Selamat Datang Hari. Buku ini menghimpunkan koleksi puisi tulisan penulisnya dan mengetengahkan isi berkaitan kehidupan dan nilai-nilai perasaan yang dihadapi seorang insan bergelar remaja.

Pendekatan puisi yang dipilih oleh penulis memberikan impak kedamaian kepada mereka yang dapat menghayati bait-bait kata puitis yang disampaikan di dalam buku. Kesukaran di dalam menghadapi cabaran hidup masakini tetap ada manisnya sekiranya dinilai dari sudut hati yang damai dan tidak terlalu ‘berperang’ dengan dunia.

Manusia sentiasa sukakan keindahan kerana keindahan itu mendamaikan. Justeru, elemen puitis di dalam puisi seperti buku ini dapat memberikan rasa kedamaian itu kerana hati sentiasa terpaut kepada kata-kata yang baik, lembut, manis dan meyakinkan.

Share this :