Sebagai pembuka tirai tahun baru 2025, Jabatan Perpustakaan UTM telah memperkenalkan program baru yang dinamakan Scholars Chapter: Turning Pages, Building Minds. Program ini bakal mewarnai citra keilmuan yang memberikan satu perspektif baru dalam menyemarakkan budaya membaca dengan menampilkan perkongsian karya-karya penyelidikan dan ilmiah berkualiti tinggi yang dikongsikan secara santai. Edisi khas ini memberi tumpuan kepada ulasan daripada golongan akademik, penyelidik, dan pakar dalam pelbagai bidang, menjadikannya platform berwibawa dalam memperkayakan dunia keilmuan.
Siri 1/2025 Scholars Chapter telah berlangsung pada 28 Januari 2025 dan disiarkan secara dalam talian di Facebook Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia serta YouTube UTM Library TV. Buku yang dikongsikan pada siri pertama ini berjudul Academic Leadership Talent: Development and Criteria. Buku terbitan Penerbit UTM Press ini ditulis oleh panel jemputan, iaitu Prof. Ir. Dr. Sharifah Hafizah binti Syed Ariffin, pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTM Johor Bahru, dan moderator jemputan, Encik Dzulhelmi bin Mohd Razali, Penolong Pendaftar dari Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, UTM Johor Bahru.
Buku Academic Leadership Talent: Development and Criteria membincangkan kepentingan membangunkan bakat kepimpinan akademik dalam Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Ia memberi tumpuan kepada strategi pembangunan kepimpinan, pendekatan latihan, serta kriteria yang diperlukan untuk memastikan kelangsungan kepimpinan yang berkesan dalam akademia. Antara isi penting di dalam buku ini adalah pembangunan bakat kepimpinan dalam kalangan ahli akademik di mana ia amat penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan berkaliber dalam pentadbiran IPT. Kepimpinan akademik bukan hanya tentang pengurusan, tetapi juga melibatkan pemikiran strategik, inovasi, dan keupayaan untuk membimbing generasi seterusnya.
Selain itu, penyediaan rubrik dan contoh program latihan kepimpinan yang direka khas untuk memenuhi keperluan ahli akademik turut ditekankan dalam buku ini. Latihan ini memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran kepimpinan berdasarkan keperluan individu dan organisasi. Buku ini juga menekankan kepentingan pembangunan kepimpinan yang sistematik dengan menyediakan laluan perkembangan bagi setiap tahap akademik. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman turut ditekankan sebagai kaedah terbaik dalam pembangunan kepimpinan akademik. Hal ini termasuk latihan kerja sebenar, bimbingan berstruktur, serta pembelajaran kolaboratif yang membolehkan pemimpin akademik memperoleh kemahiran melalui pengalaman praktikal dan refleksi.
Struktur pembangunan yang sistematik dalam membentuk kepimpinan akademik turut diperincikan. Antara elemen penting yang dibincangkan adalah modul kepimpinan bagi akademik yang berpotensi menjadi pemimpin, bimbingan rakan sebaya dalam kepimpinan, serta kajian kes berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab akademik. Struktur ini bertujuan untuk membangunkan pemimpin akademik yang cekap dan berwibawa. Perancangan penggantian kepimpinan yang sistematik dalam IPT juga diketengahkan sebagai satu aspek kritikal. Kepimpinan yang mampan memerlukan perancangan awal untuk memastikan kesinambungan kepimpinan yang berkesan. Buku ini mencadangkan kaedah untuk mengenal pasti bakat kepimpinan dalam akademia dan membangunkannya secara progresif melalui program latihan yang dirancang dengan baik.
Secara keseluruhan, buku Academic Leadership Talent: Development and Criteria memberikan panduan yang komprehensif dalam membangunkan kepimpinan akademik yang berkesan. Dengan pendekatan sistematik berasaskan pengalaman, perancangan yang strategik, serta program latihan yang disesuaikan, IPT dapat memastikan kelangsungan kepimpinan yang mampan. Buku ini sangat bermanfaat bagi pentadbir akademik, pemimpin institusi, serta ahli akademik yang ingin mengembangkan kemahiran kepimpinan mereka. Buku ini juga memberikan pandangan mendalam mengenai bagaimana IPT boleh membangun dan mengekalkan pemimpin akademik yang cekap untuk masa hadapan.