Johor Bahru, 20 Februari 2025 – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) sekali lagi telah dilantik sebagai panel penyemak dan pengesah data pencapaian Research, Development, Commercialization & Innovation (RDCI) bagi fakulti dan entiti penyelidikan di UTM bagi tahun 2024. Audit ini telah berlangsung dari 10 hingga 20 Februari 2025 secara fizikal dan dalam talian di beberapa lokasi, termasuk Perpustakaan Raja Zarith Sofiah dan Fakulti Kejuruteraan Awam di UTM Johor Bahru serta Menara Razak di UTM Kuala Lumpur.

Audit ini bertujuan untuk menilai prestasi dan pencapaian fakulti serta entiti penyelidikan berdasarkan instrumen Malaysia Research Assessment (MyRA) I & II dan Higher Institution Centre of Excellence (HiCOE). Selain itu, sebagai pengurus data penerbitan universiti, JPUTM juga berperanan mengenal pasti tambahan data penerbitan oleh penyelidik yang dapat menyumbang kepada peningkatan jumlah penerbitan universiti secara keseluruhan.

Fakulti yang terlibat dalam audit ini adalah FKA, FKM, FKE, FKT, FS, FK, FABU, FM, FSSH, FEST, FAI, MJIIT, dan AHIBS. Sementara itu, entiti penyelidikan yang turut diaudit termasuk ISIIC, IVAT, IBD, UTM-MPRC, iHumEn, IST, IFE, CACM, RISE, WCC, AMTEC, CEE, ISI-SIR, ICA, CAIRO, dan IKG.

Skop audit meliputi data penerbitan fakulti dan entiti penyelidikan, termasuk jurnal dan prosiding berindeks (Web of Science, Scopus, ERA), MyCITE, kertas polisi, laporan teknikal, serta sumber penerbitan lain. Selain itu, penerbitan berindeks di Web of Science turut dianalisis berdasarkan pencapaian kuartil 1 dan 2, serta jumlah kolaborasi penyelidik di peringkat industri, nasional, dan antarabangsa. Hasil dapatan audit ini berfungsi sebagai tanda aras pencapaian universiti secara keseluruhan dalam persediaan menghadapi audit tapak MyRA 2024.

Penglibatan aktif Jabatan Perpustakaan UTM dalam audit ini menunjukkan komitmen jabatan dalam mempertingkatkan dan memperkukuhkan kualiti serta kuantiti penerbitan melalui proses semakan dan pengesahan intensif bagi memastikan data penerbitan yang dihasilkan berkualiti, teratur, cekap, dan sistematik.

Secara keseluruhannya, Jabatan Perpustakaan UTM kekal komited dalam menyokong kecemerlangan penyelidikan universiti dengan menyediakan sumber maklumat dan perkhidmatan yang efisien serta relevan bagi merealisasikan aspirasi dan agenda penyelidikan UTM.

Share this :