27 Februari 2025 – Seksyen Galeri Jabatan Perpustakaan UTM, UTM Johor Bahru telah berjaya menganjurkan Program Temu Bual Sejarah Lisan Tokoh Akademik dan Pengurusan UTM, yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 12.00 tengah hari di Galerium UTM, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah.

Program yang julung kali diadakan ini menampilkan Puan Haslina binti Nasir, Timbalan Ketua Pustakawan Bahagian Perancangan dan Pembangunan, sebagai tokoh yang ditemu bual. Sesi temu bual ini dikendalikan oleh Puan Nas Rashidah binti Mohd Muztaza, Pustakawan Unit Penyelidikan Galeri.

Temu bual ini merangkumi pelbagai aspek menarik, termasuk perjalanan kerjaya Puan Haslina, cabaran yang dihadapi, pencapaian signifikan, serta pandangan dan harapan beliau terhadap hala tuju masa depan Jabatan Perpustakaan UTM.


Program dimulakan dengan taklimat ringkas oleh penyelaras, Puan Nas Rashidah binti Mohd Muztaza, diikuti sesi temu bual yang berlangsung secara interaktif. Selepas sesi temu bual, program diteruskan dengan penyampaian cenderahati, sesi bergambar, dan diakhiri dengan jamuan ringan sebagai tanda penghargaan.

Sepanjang sesi temu bual, tiga kategori utama dikupas:

  1. Latar Belakang Tokoh – Perjalanan hidup, pendidikan, dan pengaruh keluarga.
  2. Pengalaman Kerjaya di UTM – Cabaran, kejayaan, dan sumbangan sepanjang berkhidmat.
  3. Harapan dan Aspirasi – Pandangan terhadap masa depan perpustakaan dan pembangunan akademik.

Program ini merupakan inisiatif strategik dalam memperkayakan khazanah ilmu universiti melalui pendokumentasian sejarah lisan (oral history). Usaha ini bukan sahaja berfungsi sebagai sumber rujukan berharga bagi generasi akan datang, tetapi juga memperkukuh peranan Jabatan Perpustakaan UTM sebagai pemangkin dalam pemeliharaan sejarah, warisan ilmu, dan tradisi intelektual institusi.

Dengan kejayaan program ini, Jabatan Perpustakaan UTM bertekad untuk memperluaskan usaha pendokumentasian sejarah lisan, khususnya dalam merakam pengalaman dan perspektif tokoh akademik serta kepimpinan universiti. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi universiti untuk membina ekosistem ilmu yang berdaya saing, progresif, dan berimpak tinggi.

Share this :