5 Mac 2025, Rabu – Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS) dengan sukacitanya menerima kunjungan pelajar antarabangsa yang menyertai Campus Tour dalam rangka Program International Student’s Orientation Program (ISOP) bagi ambilan Semester 2, Sesi Akademik 2024/2025. Lawatan ini melibatkan penyertaan seramai 35 orang pelajar yang diiringi oleh dua pegawai pengiring dari UTM International.
Sesi lawatan ini diketuai oleh Puan Nor Shaliza Mohd Basarudin, pustakawan dari Unit Promosi, dengan dibantu oleh Puan Norsyazwani Mohd Ariffin, Puan Tuan Syahirah Tuan Abdul Rahman, Puan Siti Anniza Aznan, Puan Zuraidah Aman, dan Encik Muhammad Syafiq Malek dari Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perpustakaan UTM.
Sepanjang lawatan, para pelajar diperkenalkan dengan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh Perpustakaan UTM, khususnya PRZS. Mereka turut dibawa melawat beberapa ruang utama perkhidmatan rujukan bagi memahami kemudahan yang disediakan.
Seterusnya, para pelajar dibawa ke ruang akses layanan terbuka yang menempatkan koleksi buku yang boleh dirujuk dan dipinjam. Mereka juga diberikan penerangan mengenai koleksi tesis lama yang telah dikategorikan semula daripada koleksi layanan terhad kepada layanan terbuka. Di samping itu, pelajar berpeluang melawat Bilik Tesis yang menempatkan koleksi tesis terkini untuk rujukan akademik.
Lawatan diteruskan ke beberapa galeri istimewa di PRZS, termasuk Galeri Raja Zarith Sofiah yang menempatkan koleksi bahan bacaan sumbangan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, yang juga merupakan Canselor Keempat Universiti Teknologi Malaysia serta mantan Pro-Canselor UTM. Para pelajar turut melawat Galeri Tokoh Penyelidik dan Sudut Bacaan Tan Sri Salleh, yang menampilkan koleksi bahan bacaan sumbangan beliau.
Selain itu, peserta lawatan berpeluang menyaksikan demonstrasi penggunaan Sistem Peminjaman Layan Diri (SPLD), yang membolehkan peminjaman buku dilakukan secara kendiri tanpa perlu berurusan di kaunter.
Lawatan ini berakhir pada jam 11.30 pagi. Diharapkan perkongsian ilmu sepanjang sesi ini dapat memberikan manfaat kepada para pelajar serta menggalakkan mereka untuk terus memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan oleh perpustakaan dalam menyokong pembelajaran dan penyelidikan akademik mereka.