22 April 2025 (Selasa) – Audit Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP 2024) telah dilaksanakan di Jabatan Perpustakaan UTMKL bagi menilai tahap pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Anugerah ini juga bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang berjaya memenuhi kriteria serta garis panduan yang ditetapkan oleh universiti dalam usaha mempertingkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di UTM, selaras dengan pematuhan kepada perundangan yang berkaitan.

Pada tahun ini, Bangunan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah dipilih sebagai salah satu lokasi pelaksanaan Audit AKKP 2024 bagi Jabatan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (JPUTMKL). Sesi audit ini melibatkan enam (6) orang juruaudit serta lima (5) orang ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JK KKP) Jabatan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.

Proses Audit AKKP 2024 di JPUTMKL melibatkan pemeriksaan menyeluruh ke atas hampir keseluruhan ruang di Bangunan Perpustakaan UTMKL. Pemeriksaan ini merangkumi kawasan ruang kerja staf di setiap bahagian atau unit serta ruang-ruang yang digunakan oleh pengguna perpustakaan. Selain itu, audit turut melibatkan semakan dokumen dan rekod berkaitan pengurusan aktiviti keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi tahun 2024.

JPUTMKL sentiasa memberikan kerjasama penuh dalam setiap sesi audit kerana ia merupakan salah satu mekanisme penting untuk memastikan persekitaran kerja staf dan pengguna berada dalam keadaan yang selamat. Melalui pelaksanaan audit secara berterusan, JPUTMKL dapat mengenal pasti serta mengurus risiko dengan lebih berkesan, memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan, dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan warga kerja. Komitmen berterusan ini turut menyumbang ke arah penambahbaikan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan dari semasa ke semasa di JPUTMKL.

Diharapkan segala dapatan dan maklum balas daripada audit ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh sistem pengurusan KKP yang lebih cekap, selamat dan mampan. JPUTMKL komited untuk terus melaksanakan penambahbaikan demi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan kondusif untuk semua warga kerja dan pengguna perpustakaan.

 

 

Share this :