JOHOR BAHRU, 23 April 2025 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh program pembudayaan ilmunya dengan pelancaran Kempen Membaca Madani UTM 2025 yang membawa tema ‘Minda Membaca, Jiwa MADANI’. Slot bersejarah ini diadakan bersempena Majlis Bersama Naib Canselor: 100 Hari Pentadbiran Naib Canselor Kelapan, dan telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM, bersama-sama barisan pentadbiran tertinggi universiti.
Pelancaran berlangsung dalam suasana penuh semangat dan simbolik, dimulakan dengan tayangan video montaj yang memaparkan aspirasi kempen, diikuti gimik menarik berupa imbasan cap tangan Naib Canselor pada tablet sebagai lambang komitmen pengurusan tertinggi UTM terhadap program pembudayaan ilmu di kampus ini. Gimik ini turut mencerminkan pendekatan digital dan inklusif yang mendasari pelaksanaan kempen kali ini.
Kempen Membaca Madani UTM 2025 bukan sekadar membawa galakan membaca dalam kalangan warga kampus, malah berfungsi sebagai platform transformasi intelektual dan pembinaan karakter berteraskan nilai-nilai MADANI. Kempen ini dibahagikan kepada empat komponen utama yang menyasarkan pelbagai dimensi pembacaan dan pembangunan diri:
a) Read to Lead (Keyakinan dan Hormat) memupuk semangat kepimpinan melalui pembacaan mendalam dengan program seperti Scholar Chapter, Bicara Karya, dan Human Library yang menampilkan tokoh-tokoh ilmuwan dan inspirasi hidup sebenar.
b) Read to Heal (Ihsan dan Kejahteraan) pula memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan emosi dan mental melalui program seperti Read & Relax dan biblioterapi, yang berfungsi sebagai ruang pemulihan dan ketenangan jiwa.
c) Read to Create (Daya Cipta) mengasah kreativiti pelajar dan staf melalui Bengkel Penulisan yang memperkukuh keupayaan menulis secara kreatif dan kritis.
d) Read to Connect (Kemampanan) memperluas akses dan keterangkuman melalui inisiatif seperti Digital Reading Station dan Transliterasi Braille, selaras dengan komitmen UTM untuk menyediakan ruang bacaan yang mesra kepada semua lapisan masyarakat.
Kempen Membaca Madani UTM 2025 dijangka berlangsung sepanjang tahun dengan pelbagai pengisian program menarik dan berimpak tinggi. Usaha ini diyakini dapat menyemarakkan kembali semangat membaca dalam kalangan warga kampus serta memperkukuh kedudukan UTM sebagai institusi ilmu yang sentiasa bergerak seiring zaman dan berpaksikan nilai-nilai murni.