11 & 12 Jun 2025 – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) telah menganjurkan Kursus Lengkap Pembangunan Video menggunakan Aplikasi Telefon Pintar pada 11 dan 12 Jun 2025, di mana ia bertujuan untuk memberi nilai tambah kepada kemahiran bidang tugas warga JPUTM khususnya dalam penghasilan kandungan visual yang kreatif dan berkesan. Kursus ini telah dikendalikan oleh dua orang fasilitator berpengalaman iaitu Encik Wan Jamal Mohd Ariff dan Encik Hasbullah Jalil, yang telah memberikan input-input menarik serta latihan kemahiran bersifat praktikal secara menyeluruh kepada semua peserta.

Kursus ini dirangka khas dari sudut modul pengajarannya dengan memberi pendedahan menyeluruh kepada para peserta tentang menyediakan perancangan awal dalam pembangunan sesebuah video, khususnya melalui penggunaan storyboard sebagai alat utama dalam proses tersebut. Storyboard bukan sahaja membantu menyusun alur cerita dengan lebih teratur, malah berfungsi sebagai panduan visual yang memudahkan pengambilan setiap babak (scene) secara sistematik. Sepanjang kursus berlangsung, peserta didedahkan dengan teknik rakaman, suntingan asas, pengurusan audio visual, serta pemilihan aplikasi mudah alih yang efektif untuk tujuan pembangunan video.

Dengan adanya perancangan yang rapi, proses suntingan video akan menjadi lebih lancar dan teratur. Selain itu, peserta dapat mengenal pasti serta memilih babak yang sesuai dengan lebih mudah, sekaligus mengurangkan keperluan untuk membuat pembetulan pada peringkat akhir. Ini bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, malah memastikan kualiti akhir video berada pada tahap terbaik.

Selain daripada aspek teknikal, kursus ini turut membuka ruang kepada para peserta untuk meneroka potensi diri dalam aspek kreativiti dan inovasi, selari dengan kehendak organisasi moden yang mementingkan penyampaian mesej secara visual dan menarik. Kemahiran yang diperoleh juga mampu diaplikasikan dalam pelbagai bidang kerja, menjadikan para peserta lebih bersedia dan versatil dalam menyampaikan maklumat melalui media digital.

Secara keseluruhan, kursus ini telah berjaya mencapai objektifnya dengan memberi pengetahuan yang berguna serta meningkatkan tahap profesionalisme peserta dalam pembangunan video menggunakan hanya aplikasi telefon pintar. Inisiatif ini jelas mencerminkan komitmen Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) dalam memperkasa keupayaan staf ke arah kecemerlangan organisasi melalui pendekatan teknologi dan kreativiti semasa.

Share this :