Seiring dengan peningkatan teknologi dan keperluan daya saing yang tinggi dalam perkhidmatan awam, Universiti Teknologi Malaysia tidak terlepas dalam menggalas usahanya untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan warganya, terutamanya kepada pemegang taruh yang mahu melihat UTM sama maju dengan institusi atau organisasi yang lain sama ada awam mahupun swasta. Justeru, Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) yang mendukung aspirasi serupa turut mengorak langkah dalam memperkasa kualiti staf di jabatannya dengan menganjurkan Kursus Pemerkasaan Pembantu Pustakawan 2025.


Kursus yang telah diadakan pada 1 Oktober 2025 (Rabu) ini memberi tumpuan kepada kriteria transformasi digital yang telah digerakkan UTM seawal tahun 2011 sehingga kini. Sejajar dengan keperluan semasa, seharusnya Pembantu Pustakawan juga tidak ketinggalan dalam mempelajari dan menguasai teknologi digital yang bersesuaian dengan bidang kerja mereka. Justeru, beberapa slot pemerkasaan pengetahuan telah diadakan sepanjang kursus berlangsung iaitu satu slot disampaikan dengan format forum dan tiga lagi slot dengan corak perkongsian ilmu.

Kursus ini dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Ketua Pustakawan Jabatan Perpustakaan UTM, Puan Khairulbahiyah Yaakub di mana beliau di dalam ucapannya telah menyeru kepada seluruh warga Perpustakaan UTMJB dan UTMKL untuk sentiasa bersedia dalam menghadapi corak perubahan kepimpinan pengurusan jabatan serta bidang tugas yang lebih mencabar dan menuntut kepada peluasan penguasaan ilmu dan kemahiran yang semakin kompleks namun tetap berada di dalam landasan perkhidmatan efisien dan cekap. Beliau yang turut memetik pesanan daripada Naib Canselor UTM menyatakan bahawa warga Perpustakaan UTM harus menghayati matlamat penubuhannya iaitu menyediakan perkhidmatan ilmu pengetahuan terbaik kepada mahasiswa dan juga para penyelidik atau pensyarah.

Selepas ucapan perasmian, kursus diteruskan dengan slot pertama iaitu sesi forum yang bertajuk Peranan Pembantu Pustakawan dalam Era Pendigitalan. Forum yang disertai oleh tiga orang staf Pembantu Pustakawan dengan latar belakang gred perjawatan berbeza ini berkongsi kepada peserta kursus mengenai pengalaman, proses pembelajaran dan hal-hal terkait perkembangan kerjaya yang melibatkan pengetahuan dan kemahiran dalam era digital yang semakin meluas dan menuntut staf untuk turut sama berusaha mempertingkatkan keupayaan diri dalam meraih manfaat daripada perkembangan teknologi, terutama darihal keperluan tugasan-tugasan yang telah diamanahkan. Para panel bagi forum ini terdiri daripada:
- Nor Iman Ibrahim (Perpustakaan UTMKL)
- Zalinda Shuratman (Perpustakaan UTMJB)
- Akmal Alif Amran (Perpustakaan UTMJB)
Manakala moderator bagi forum ini adalah En. Salihuddin Bakhri. Keseluruhan sesi forum ini diselia oleh fasilitator berpengalaman iaitu En. Md. Razib Karno, Timbalan Ketua Pustakawan JPUTM.


Seterusnya adalah sesi perkongsian oleh En. Wan Jamal Mohd. Ariff yang bertajuk Pengenalan Peralatan Penghasilan Video dan Montaj bagi Program Perpustakaan. Beliau selaku jurufoto berpengalaman telah menyampaikan input yang sangat penting kepada para peserta yang berkaitan dengan hal ehwal mempromosi aktiviti dan program rasmi jabatan yang memerlukan kepada kemahiran dalam menyediakan bahan promosi dalam bentuk fotografi mahupun video. Beliau yang telah mendokumentasikan banyak program jabatan melalui fotografi turut menerangkan dengan mendalam mengenai segala peralatan yang digunakan untuk kerja-kerja tersebut seperti kamera DSLR, lensa-lensa spesifik serta perisian digital yang digunakan untuk memproses foto-foto atau video untuk aplikasi digital perpustakaan seperti laman Facebook, Instagram, Youtube dan Tik-tok. Perkongsian ini adalah penting dalam perkembangan teknologi masakini yang memerlukan jabatan segera mengadaptasi segala ruang dan peluang mempromosi aktiviti jabatan melalui cabang media sosial yang pelbagai dan tentunya memerlukan kemahiran dalam teknik fotografi atau videografi digital.

Slot seterusnya yang bersambung pada sebelah petang menyaksikan satu lagi elemen pendigitalan yang semakin berkembang dalam penyediaan perkhidmatan di Jabatan Perpustakaan UTM iaitu Transformasi Maklum Balas Pengguna yang disampaikan oleh En. Mohammad Fikri Yusof selaku Pustakawan yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus hal tersebut. Melalui perkongsian beliau, para peserta dapat mengetahui dengan lebih mendalam mengenai transformasi yang telah diusahakan oleh JPUTM dalam menaiktaraf fungsi dan prestasi maklum balas pengguna melalui pendekatan digital yang membolehkan pengguna memberi atau mendapatkan maklumbalas dengan segera tanpa perlu melalui perantaraan pegawai di kaunter perpustakaan. Kaedah lama yang sering membataskan masa untuk pengguna mendapatkan maklumbalas sewajarnya tidak dipraktikkan lagi dalam era transformasi digital masakini yang membolehkan kita mengaplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam membantu atau membimbing pengguna dalam mendapatkan meklumat yang mereka kehendaki tanpa perlu terus berjumpa dengan pegawai bertugas. Hal ini perlu diketahui oleh para peserta memandangkan khidmat pelanggan adalah merupakan salah satu faktor utama untuk satu-satu perkhidmatan yang disediakan jabatan itu dinilai sebagai efisien atau tidak.

Slot terakhir bagi kursus ini adalah perkongsian oleh En. Salihuddin Bakhri iaitu Inovasi Pendigitalan di mana beliau telah memberi input yang sangat berguna kepada para peserta dengan berkongsi mengenai transformasi kerja yang dikaitkan dengan pengalaman beliau sendiri dalam mendepani cabaran dalam menguasai perisian digital yang akhirnya memudahkan tugasan-tugasan yang telah diberikan kepada beliau. Beliau memberi penekanan khusus kepada perisian Google Sheet yang sangat popular dalam kalangan penjawat awam yang bekerja melibatkan penghasilan statistik atau perangkaan di mana dengan menguasai perisian ini, secara tidak langsung warga JPUTM telah mengalami transformasi digital di dalam kerjaya mereka kerana hampir segala proses kerja melalui Google Sheet adalah berlaku di dalam talian dan akses kepada perisian ini adalah mudah dan boleh berlaku di mana-mana sahaja dengan talian internet yang baik.

Kursus ini diakhiri dengan sesi kuiz yang menarik dengan hadiah cenderahati yang telah disumbangkan oleh jawatankuasa kursus kepada para peserta yang berjaya menjawab soalan yang dikemukakan dengan betul dan tepat. Keseluruhannya, objektif kursus ini iaitu memperkasa kompetensi dan profesionalisme Pembantu Pustakawan, seiring dengan aspirasi UTM untuk melahirkan warga kerja yang berpengetahuan, inovatif serta bersedia menghadapi cabaran transformasi digital dalam dunia kepustakawanan berjaya diterapkan dengan baik dan diharapkan agar warga JPUTM dapat bersama-sama dengan aspirasi jabatan dalam memeri perkhidmatan terbaik kepada pengguna di masa hadapan.