Institusi diraja yang menaungi negara kita sememangnya unik. Dengan keunikan yang mencerminkan keutuhan budaya dan warisan kehormatan Kesultanan Melayu sedari zaman silam hingga ke zaman moden masakini, kita telah menyaksikan bahawa kesetiaan orang-orang Melayu kepada raja-rajanya adalah tidak berbelah bahagi. Justeru, adat isitiadat dipelihara dan protokol-protokol rasmi menjadi cerminan ketinggian penghormatan yang diberikan kepada sebuah institusi yang memelihara maruah dan harga diri bangsa Melayu di tanah air. Namun begitu, protokol-protokol ini kekal eksklusif dan tidak begitu diketahui umum, khususnya rakyat negeri Johor sendiri.
Atas sebab itu, Jabatan Perpustakaan UTM dengan bangganya telah menganjurkan sebuah program Bicara Karya Khas yang menampilkan Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim Ramli selaku Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor. Program ini telah diadakan pada 27 Ogos 2025 di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah UTMJB. Manakala moderator program ini adalah Yang Berhormat Dato’ Dr. Kassim Thukiman , Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor. Perbincangan di dalam program mengkhususkan kepada sebuah karya istimewa bertajuk Protokol Johor yang merupakan usaha kreatif panel jemputan sendiri dalam mendokumentasikan adat istiadat Kesultanan Johor dan memberi kefahaman mudah kepada orang awam.

Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim Ramli merupakan seorang tokoh yang sangat dihormati dalam bidang protokol, sejarah dan budaya Johor. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) dari Universiti Malaya dan telah menabur bakti lebih daripada lima dekad dalam perkhidmatan negeri serta pengurusan institusi Diraja. Dengan pengalaman yang luas, beliau kini memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, iaitu sebuah badan penasihat utama kepada Kesultanan Johor dalam hal ehwal protokol dan adat istiadat.

Sumbangan beliau amat besar khususnya dalam usaha mendokumentasikan adat dan warisan Johor. Beliau telah menghasilkan beberapa karya penting antaranya Sejarah Adat Istiadat DiRaja Johor, Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855–2012, dan JDT – Johor Darul Ta’zim: An Abode of Dignity, yang memenangi anugerah Buku Umum Terbaik (Kategori Warisan Diraja) pada Anugerah Buku Negara 2019. Buku-buku ini menjadi rujukan utama bukan sahaja untuk masyarakat Johor, tetapi juga untuk generasi muda dan akademik yang ingin memahami adat istiadat negeri ini.

Atas jasa dan sumbangan beliau yang luar biasa, Dato’ Dr. Abdul Rahim telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Institusi Diraja) oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia pada tahun 2019. Beliau juga aktif dalam kegiatan sosial sebagai pemegang amanah di beberapa yayasan pendidikan di Johor, termasuk Yayasan Temenggong Abdul Rahman Johor dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Johor. Pelantikan beliau sebagai Karyawan Tamu UTM memperlihatkan pengiktirafan tinggi terhadap kepakaran dan dedikasi beliau dalam memelihara serta mengembangkan warisan budaya negeri. Secara keseluruhannya, beliau adalah seorang tokoh yang berjaya menggabungkan pengalaman praktikal, kepakaran akademik, dan sumbangan sosial, sekali gus meninggalkan legasi penting kepada negeri Johor dan negara.

Buku Protokol Johor ini adalah sebuah karya yang signifikan dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap adat dan protokol rasmi negeri Johor. Ia bukan sahaja menjadi dokumen rasmi warisan budaya, malah memberi panduan kepada generasi kini dan akan datang dalam memahami dengan mudah akan kepentingan protokol ini. Penulisan yang berpaksikan pengalaman serta ilmu menjadikan karya ini sebuah rujukan penting yang wajar disebarluaskan dalam kalangan pelajar, penjawat awam dan masyarakat umum.
Buku ini juga menjadi bukti bahawa protokol istana bukanlah semata-mata bertujuan untuk membeza-bezakan darjat, sebaliknya sebagai satu panduan atau jalan dalam memastikan segala urusan, program dan majlis yang melibatkan kerabat diraja Johor dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar tanpa berkompromi terhadap kualiti penganjuran majlis. Majlis yang diatur dengan baik adalah bukti kesediaan kita dalam meraikan pemerintah negeri yang sewajarnya dimuliakan selaku penaung kepada rakyat, khususnya negeri Johor yang tercinta ini.