Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) telah mengadakan Sesi Townhall Pelaporan Pencapaian Pelan Tindakan enVision Q3 2025 secara dalam talian melalui aplikasi CISCO Webex pada 10 November 2025. Ucapan aluan telah disampaikan oleh pengacara majlis, Puan Haslinda binti Sabari selaku Ketua Seksyen Korporat dan Strategik, JPUTM dan disusuli dengan bacaan doa oleh Encik Muhammad ’Atiff bin Mahussain. Sesi dimulakan dengan pembentangan oleh Puan Zaleha binti Atan, Timbalan Ketua Pustakawan (Perkhidmatan), merangkap ketua penggerak enVision JPUTM 2025 yang bertujuan menyampaikan perkembangan kemajuan pelaksanaan pelan tindakan perpustakaan bagi suku ketiga tahun 2025 selaras dengan strategi universiti melalui enVision UTM 2025.

Dalam pembentangan tersebut, fokus diberikan kepada Key High-Impact Result (KHIR) yang menjadi tonggak utama dalam menyokong matlamat universiti ke arah future-ready, student-oriented library. Melalui pendekatan ini, perpustakaan berperanan menyediakan sumber ilmu dan infrastruktur pembelajaran yang menyokong inovasi, sains terbuka, serta pembangunan bakat global. Secara keseluruhan, pencapaian Key HIR Q3 2025 Jabatan Perpustakaan UTM ialah 32.40%.

Jabatan Perpustakaan UTM turut mencapai prestasi memberangsangkan dalam pelaksanaan High-Impact Results (HIRs) bagi suku ketiga tahun 2025. Sebahagian besar inisiatif yang digariskan di bawah empat Strategic Objectives (SO) berjaya mencapai tahap 100% pelaksanaan, termasuk pengukuhan Koleksi Khazanah Intelektual Johor (KKIJ), pembangunan Muzium Warisan UTM, pelaksanaan aplikasi Virtual Reality bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran, serta penubuhan ruang kolaboratif di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.

Puan Zaleha turut memberi pengenalan berkenaan hala tuju baharu Universiti Teknologi Malaysia dengan pelaksanaan UTM ASCEND 2026-2030 bagi menggantikan EnVision 2025. Perpustakaan telah menggariskan perancangan pelan tindakan 2026 yang bakal digerakkan melalui tujuh (7) inisiatif melibatkan 10 Desired States yang memberi tumpuan antaranya kepada pembangunan perpustakaan digital lestari yang berteraskan prinsip digital-first, pembinaan infrastruktur pintar berasaskan teknologi AI dan analitik data, serta pengukuhan budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat dalam komuniti kampus.

Sesi diteruskan dengan pembentangan pencapaian Q3 oleh wakil daripada setiap bahagian, iaitu Bahagian Perancangan dan Pembangunan (BPP), Bahagian Perkhidmatan (BPK), Bahagian Automasi dan Multimedia (BAM), Bahagian Ilmu Pengetahuan Institusi (BIP) dan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PSZKL). Setiap pembentangan turut disertai sesi soal jawab bagi memberikan penjelasan lanjut dan menjawab sebarang pertanyaan atau kekeliruan.

Sesi Townhall ini telah diakhiri dengan ucapan penutup oleh Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM, Puan Khairulbahiyah binti Yaakub. Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua warga perpustakaan atas komitmen dan usaha berterusan dalam menjayakan pelan tindakan tahun 2025. Beliau menekankan bahawa setiap inisiatif yang dijalankan memberi impak langsung kepada komuniti kampus melalui perkhidmatan yang bukan sahaja menyokong pembelajaran, tetapi turut memperkaya pengalaman pengguna. Pendekatan berasaskan data pengguna turut ditekankan sebagai asas penting dalam memperkukuh ekosistem perkhidmatan perpustakaan agar lebih relevan dan responsif terhadap keperluan semasa.

Beliau turut mengingatkan bahawa komunikasi yang berterusan dan kepimpinan di semua peringkat, termasuk kepimpinan kendiri amat penting dalam memastikan hala tuju perpustakaan kekal selari dengan aspirasi universiti. Dalam seruannya yang penuh semangat, beliau menegaskan agar setiap staf tidak bertangguh dalam melaksanakan tanggungjawab serta sentiasa melihat diri bukan sekadar pelaksana, tetapi sebagai pemangkin perubahan dalam membina perpustakaan yang dinamik dan berdaya saing.
Secara keseluruhannya, Sesi Townhall yang disertai oleh seramai 110 orang staf Jabatan Perpustakaan UTM ini bukan sahaja menjadi medan refleksi terhadap kemajuan semasa, tetapi juga pemangkin semangat untuk terus memperkasa kecemerlangan perkhidmatan perpustakaan UTM. Komitmen seluruh warga JPUTM dalam menjayakan agenda enVision UTM 2025 membuktikan kesungguhan jabatan ini dalam mendukung aspirasi universiti ke arah UTM ASCEND 2026-2030, sekali gus memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang progresif, inklusif dan berorientasikan masa depan.