Sempena Sambutan Hari Akademia UTM 2025, Jabatan Perpustakaan UTM telah menganjurkan Program Scholars Chapter Siri 4/2025 pada 16 Oktober 2025, masa 11.00 pagi – 12.00 tengahari (Khamis) bertempat di Dewan Sri Perdana, Kolej Perdana, UTM Johor Bahru.
Program ini menampilkan Prof. Madya Dr. Kamarul Azmi Jasmi sebagai panel dan En. Dzulhelmi Mohd Razali sebagai moderator. Perbincangan berfokus kepada buku Menempuh Jalan ke Syurga dan Kenikmatannya, yang mengupas amalan menuju syurga, cabaran yang perlu dihindari, serta kenikmatan yang dijanjikan Allah SWT.

Panel jemputan adalah penulis buku Menempuh Jalan ke Syurga dan Kenikmatannya. Buku ini diterbitkan oleh Penerbit UTM Johor pada tahun 2024, mempunyai 373 halaman dan buku ini membawa pembaca menyelami hakikat kehidupan yang sebenar bahawa dunia hanyalah persinggahan sementara, sedangkan destinasi abadi adalah syurga yang dijanjikan Allah SWT. Penulis menekankan bahawa jalan menuju syurga bukan sekadar angan-angan tetapi memerlukan usaha yang konsisten, iman yang teguh dan amalan yang ikhlas.

Bahagian pertama buku ini menggariskan panduan praktikal untuk menempuh jalan ke syurga. Ia bermula dengan asas yang paling penting iaitu beriman kepada rukun iman yang enam. Keimanan ini menjadi tunjang kepada segala amal. Seterusnya, penulis mengajak pembaca untuk memperkukuh ibadah wajib seperti solat, puasa, zakat dan haji serta memperbanyak amalan sunnah yang mendekatkan diri kepada Allah. Tidak cukup dengan ibadah, akhlak dan adab turut menjadi penentu kejayaan seseorang di akhirat. Sifat jujur, amanah, dan menjaga hubungan sesama manusia adalah sebahagian daripada ciri-ciri yang membawa kepada keredaan Allah.

Selain itu, konsep jihad dan mujahadah yang dibincangkan dalam buku ini memberi perspektif luas bukan hanya jihad di medan perang tetapi juga jihad ilmu dan usaha melawan hawa nafsu. Penulis menekankan bahawa cabaran terbesar bukanlah musuh di luar, tetapi nafsu dan sifat tercela seperti riak, takbur dan niat yang salah. Keikhlasan adalah kunci agar setiap amalan diterima oleh Allah SWT.
Bahagian kedua buku ini membawa pembaca membayangkan keindahan syurga yang tiada tandingan. Gambaran tentang tubuh yang sempurna, pemandangan indah, sungai-sungai, istana dan nikmat fizikal seperti makanan, minuman, serta pakaian mewah menjadikan syurga sebagai tempat yang sangat didambakan. Lebih daripada itu, kebahagiaan bersama keluarga soleh dan kenikmatan tertinggi melihat Allah SWT adalah puncak kebahagiaan yang tidak dapat digambarkan oleh akal manusia.

Syurga adalah ganjaran bagi mereka yang beriman, beramal soleh dan menjaga keikhlasan. Usaha menuju syurga memerlukan istiqamah, kesabaran dan pengorbanan, ganjarannya adalah kebahagiaan abadi yang tiada penghujung.
Secara keseluruhan, buku ini bukan sekadar bacaan ilmiah tetapi sebuah panduan hidup yang mengajak kita untuk berusaha dengan penuh kesungguhan. Ia menggabungkan dalil al-Quran, hadis sahih dan pandangan ulama, menjadikan kandungannya kukuh dan bermanfaat. Gaya penulisan yang santai dan mudah difahami menjadikan buku ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Siaran eksklusif program ini boleh ditonton melalui Facebook UTM Library dan YouTube UTM Library Media pada hari berikutnya 17 Oktober 2025 pada pukul 11.00 pagi – 12.00 tengah hari. Terima kasih diucapkan kepada semua penonton kerana menyokong dan turut serta dalam setiap program anjuran Jabatan Perpustakaan UTM.