Program Pages of Wisdom: Human Library Siri 02/2025 anjuran Jabatan Perpustakaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung pada 9 Disember 2025 (Selasa) di Ruang Terbuka, Aras 1, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah dan secara dalam talian melalui platform Youtube dan Facebook Perpustakaan UTM. Seramai 177 peserta dari pelbagai jabatan di dalam dan luar UTM telah menghadiri bagi menyoroti dan mendalami pengalaman hidup, menimba hikmah serta menghargai perjalanan tokoh jemputan melalui pendekatan pembelajaran secara langsung.

Sesi yang bermula tepat jam 10.15 pagi itu menampilkan Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim bin Ramli, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, sebagai panel utama, manakala Encik Dzulhelmi bin Mohd Razali dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan bertindak selaku moderator. Pelaksanaan program ini turut menyokong inisiatif universiti dalam memperkukuh budaya membaca, memperluas wacana ilmu serta memelihara hikmah generasi terdahulu.

Mengimbau perjalanan hidupnya, Yang Berhormat Dato’ memulakan perkongsian dengan kisah awal yang sarat dengan cabaran semasa era peperangan. Dilahirkan pada 16 Disember 1941, beliau membesar dalam suasana serba kekurangan sehingga hanya menikmati pisang rebus yang dilenyek sebagai hidangan harian. Walaupun menempuh kesusahan, beliau tidak pernah berputus asa dalam pendidikan. Dari tahun 1954 hingga 1958, beliau bersekolah di sekolah kerajaan beraliran Inggeris dan berbekalkan tekad untuk mengubah nasib  keluarga, beliau berjalan kaki sejauh enam (6) kilometer setiap hari untuk menimba ilmu.

Perkongsian seterusnya membawa hadirin menelusuri pengalaman penting dalam kerjaya pentadbiran negeri. Antara yang paling diingati ialah ketika beliau terlibat dalam penyambutan rasmi kedatangan Putera Mahkota Jepun ketika itu, Akihito, bersama pasangannya Puteri Michiko ke Johor Bahru pada tahun 1973. Peristiwa diplomatik tersebut bukan sahaja membuktikan ketelitian pentadbiran negeri dalam aspek protokol, malah mendidik beliau tentang disiplin, kesetiaan dan tanggungjawab dalam menjaga maruah negeri Johor.

Dalam meneliti perubahan generasi, Yang Berhormat Dato’ turut berkongsi kisah permulaan kerjayanya dengan gaji sebanyak RM503 sebelum berjaya menghasilkan tujuh buah buku tulisannya. Menurut beliau, cabaran generasi masa kini bukanlah kekurangan sumber, tetapi bagaimana memanfaatkan sumber yang melimpah ruah dengan bijaksana. Beliau menekankan pentingnya menimba ilmu daripada mereka yang berpengalaman, mengamalkan prinsip “do not bite the hand that feeds you” serta memelihara sifat rendah diri sebagai asas kejayaan.

Beliau turut mengulas perubahan pesat di Johor yang dahulunya tidak mempunyai pembangunan seperti kondominium, berbanding pertumbuhan kini yang semakin rancak. Dalam pentadbiran negeri, beliau menegaskan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa harmoni serta berlandaskan pekeliling dan sistem pentadbiran yang kukuh. Yang Berhormat Dato’ juga menzahirkan penghargaan terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang disifatkan sebagai raja berjiwa rakyat yang komited dalam menjaga kebajikan masyarakat melalui pertubuhan yayasan milik baginda.

Dengan penuh harapan, Yang Berhormat Dato’ menyeru agar institusi raja terus diperkasakan sebagai teras kestabilan negeri dan simbol perpaduan rakyat. Walaupun pembangunan di Johor berkembang pesat, beliau mengingatkan bahawa aspek kemanusiaan tidak boleh diketepikan. “We must also look after human welfare,” tegasnya, sambil menekankan bahawa kemajuan sebenar lahir daripada masyarakat yang sejahtera, berakhlak dan bijaksana memanfaatkan peluang.

Program berimpak tinggi ini bukan sahaja menghubungkan generasi, malah membuka ruang kepada peserta untuk menilai kehidupan dari perspektif yang lebih luas. Dengan pengalaman dan pandangan yang mendalam, Yang Berhormat Dato’ percaya generasi muda hari ini mampu membawa Johor ke era kegemilangan yang lebih cemerlang.

Share this :
UTM Open Day