Pada 22 Disember 2025 Isnin yang lalu, Kursus Pembangunan Chatbot AI telah diadakan secara atas talian bertujuan untuk memberi pendedahan mendalam mengenai konsep, teknologi dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) khususnya dalam pembangunan chatbot bagi menyokong perkhidmatan digital organisasi. Kursus ini dirangka untuk membantu peserta memahami asas AI sebagai sistem yang mampu meniru keupayaan manusia dalam berfikir, belajar, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah, serta peranan kritikal data dalam menentukan kualiti dan ketepatan output yang dihasilkan oleh sistem AI.

Peserta telah didedahkan kepada konsep teras seperti kepentingan penyediaan data yang berkualiti, kefahaman terhadap model AI dan perbezaan tahap keupayaan model, serta penggunaan token AI sebagai unit asas dalam pemprosesan dan penjanaan bahasa. Kursus ini turut menekankan pendekatan Retrieval-Augmented Generation (RAG) yang membolehkan chatbot memberikan respon yang lebih tepat, relevan dan terkawal berdasarkan sumber data dalaman organisasi seperti dokumen, laman web dan teks rujukan.
Melalui sesi teori dan demonstrasi praktikal, peserta akan dibimbing secara langkah demi langkah dalam membangunkan chatbot asas menggunakan platform Botpress. Antara aspek yang diterapkan termasuk penyediaan profil pengguna, penciptaan dan konfigurasi chatbot, pengurusan knowledge base, penetapan arahan respons (prompt), pemilihan model AI yang sesuai, serta proses penerbitan chatbot. Peserta juga mempelajari kaedah mengintegrasikan chatbot ke laman sesawang bagi membolehkan ia digunakan secara langsung oleh pengguna.

Selain itu, kursus ini turut membincangkan aplikasi sebenar chatbot dalam persekitaran perkhidmatan seperti perpustakaan, termasuk penyediaan bantuan segera 24/7, panduan penggunaan perkhidmatan, sokongan operasi, komunikasi pengguna dan pengumpulan data bagi tujuan penambahbaikan perkhidmatan. Secara keseluruhan, kursus ini bertujuan meningkatkan literasi AI, kemahiran automasi digital serta keupayaan organisasi dalam membangunkan dan mengurus sistem chatbot yang berkesan, mampan dan berorientasikan pengguna.