Program Pesona Diri: “Tampil Bergaya di Hari Raya” telah berjaya dilaksanakan pada 13 Mac 2026 (Jumaat) bertempat di Library XChange Hub, Aras 2, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Program ini merupakan salah satu inisiatif perpustakaan dalam memperkukuh peranannya sebagai pusat pembelajaran komuniti yang dinamik dan inklusif. Sesi ini telah dikendalikan oleh Puan Yasmin Hamzah, Freelance Makeup Artist dan Personal Styling Enthusiast merangkap staf Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.

Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari telah disertai oleh seramai 24 orang peserta yang terdiri daripada staf UTM serta komuniti sekitar Sri Semarak dan Desa Rejang. Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan penjagaan penampilan diri, khususnya dalam membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sepanjang program berlangsung, peserta telah didedahkan dengan pelbagai pengisian menarik merangkumi tips solekan raya, teknik penampilan diri yang sesuai, asas grooming serta demonstrasi solekan dan styling secara langsung. Pendekatan interaktif yang digunakan membolehkan peserta memperoleh pengetahuan praktikal yang boleh terus diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen perpustakaan dalam memperluas fungsi sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat serta mengukuhkan hubungan dengan komuniti setempat. Melalui penggunaan ruang Library XChange Hub sebagai platform aktiviti, perpustakaan berjaya menyediakan persekitaran pembelajaran alternatif yang lebih santai, relevan dan berimpak tinggi kepada masyarakat.

Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan serta memberi nilai tambah kepada peserta. Inisiatif seumpama ini akan terus diperkasakan bagi memastikan perpustakaan kekal relevan sebagai hab ilmu, pembangunan diri dan penglibatan komuniti.

Share this :
UTM Open Day