Sesi Read & Relax diteruskan lagi untuk siri yang ke 17 di Perpustakaan Sultanah Zanariah. Sesi kali ini bertemakan ibadah haji dan umrah yang mengenengahkan 2 orang pengulas iaitu Cik Shaliza Md. Yusos dan Pn. Norashikin Johari yang kedua-duanya dari Perpustakaan UTM.

Cik Shaliza Md. Yusos mengulas buku bertajuk Diari Umrah Pertamaku

Pengulas pertama oleh Cik Shaliza Md. Yusos telah berkongsi tentang buku yang bertajuk “Diari Umrah Pertamaku” karya Suhaili Mohd. Zain. Buku yang mengisahkan catatan perjalanan penulis semasa mengerjakan umrah buat kali pertama bersama keluarga. Bingkisan ini sesuai untuk golongan wanita yang sama situasinya seperti penulis, yang ingin menunaikan umrah buat julung kalinya. Segala persediaan dari fasa sebelum berangkat sehingga ketika sudah menjejakkan kaki bumi barakah berjaya diolah serba ringkas oleh penulis. Boleh dijadikan antara rujukan awal untuk tetamu Allah yang telah menanam impian untuk ke sana. Namun secara keseluruhannya buku ini memuaskan dan boleh dijadikan sebagai panduan oleh sesiapa sahaja yang merindui suasana di Mekah & Madinah. Turut diselitkan dalam buku ini adalah tip yang serba sedikit boleh membantu dalam pelaksanaan ibadah ketika di sana. Turut disenaraikan oleh penulis berkaitan dengan keperluan-keperluan yang bersesuaian yang boleh dibawa ke sana.

Pn. Norashikin Johari mengulas buku bertajuk 50 Tip Motivasi Haji & Umrah

Sesi diteruskan dengan pengulas yang kedua iaitu Pn. Norashikin Johari yang bercerita dan berkongsi tentang buku yang bertajuk “50 tip motivasi haji & umrah” hasil karya Prof. Muhd Kamil dan isterinya. Buku ini diterjemahkan oleh penulis tentang tip dan panduan yang sangat mudah untuk difahami dan diikuti. Malah, isu-isu yang ditonjolkan disampaikan dengan cara yang sangat mudah sehingga khalayak pembaca tidak menyedari yang ia merupakan satu isu besar. Sebagai contoh, isu menduakan Allah, berpuasa tahap tinggi dan konsep mengingati Allah secara istiqamah dihujahkan dengan penuh kasih sayang. Buku ini sangat menarik dan mengujakan sehingga mampu membuatkan pembacanya tekun serta berusaha untuk menamatkan pembacaan dalam masa yang singkat. Pembaca pasti akan mengulangi pembacaan terutamanya bagi bakal jemaah haji dan umrah yang inginkan sesuatu yang terbaik. Kandungan buku tersebut sangat menyentuh hati pengulas kerana ia didasarkan melalui pengalaman sebenar beliau semasa menunaikan fardu haji baru-baru ini.

Disediakan oleh Puan Norashikin Binti Johari.

 

Share this :