Program Ijtihad Pustaka Siri 3/2026 merupakan satu inisiatif ilmiah yang dianjurkan oleh Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBP WS). Program ini telah dilaksanakan pada 9 Mac 2026 (Isnin) dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, dan disiarkan secara eklusif melalui saluran rasmi Facebook dan YouTube UTM Library serta Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Penganjuran program ini bertujuan menyediakan platform perkongsian ilmu dan wacana intelektual kepada masyarakat, khususnya dalam memperkukuh pemahaman tentang kepimpinan berteraskan nilai Islam.

Sesi perbincangan dalam program ini telah dikendalikan oleh Encik Mohd Farizal bin Rashid, Editor Penerbit UTMPRESS, UTM Johor, yang bertindak sebagai moderator. Panel jemputan, Encik Syafiq bin Zulkafli, Ketua Program, Sekolah Dakwah, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim, telah berkongsi pandangan berkaitan konsep kepimpinan Rasulullah SAW sebagai model kepimpinan unggul sepanjang zaman. Dalam perkongsian tersebut, beliau menegaskan bahawa kepimpinan Rasulullah SAW berasaskan prinsip amanah, keadilan, kebijaksanaan dan keprihatinan terhadap masyarakat, yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah masyarakat yang sejahtera dan berdaya tahan. Beliau turut menjelaskan bahawa nilai-nilai kepimpinan tersebut relevan untuk diaplikasikan dalam pelbagai konteks kepimpinan masa kini, termasuk dalam organisasi, institusi pendidikan dan kehidupan bermasyarakat.

Perbincangan dalam program ini turut mengetengahkan buku bertajuk Wacana Kepimpinan Rasulullah SAW karya Munif Zainuddin Fikri Nordin sebagai bahan rujukan utama. Buku ini menghuraikan secara komprehensif prinsip-prinsip kepimpinan Rasulullah SAW yang berteraskan nilai moral dan etika dalam pengurusan masyarakat. Kandungan buku tersebut menekankan bahawa kepimpinan yang berkesan bukan sahaja bergantung kepada kedudukan atau kuasa, tetapi juga memerlukan integriti, ketelusan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang adil serta berpaksikan nilai kemanusiaan. Pendekatan yang diketengahkan dalam buku ini memberikan panduan praktikal kepada pembaca dalam memahami dan menghayati nilai kepimpinan Islam sebagai asas pembentukan sahsiah dan kepimpinan yang berkualiti.


Secara keseluruhannya, Program Ijtihad Pustaka Siri 3/2026 telah berjaya mencapai objektifnya sebagai wadah penyebaran ilmu dan pemerkasaan nilai kepimpinan berteraskan ajaran Islam. Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kepimpinan beretika dan berintegriti, malah memperkukuh usaha kerjasama antara institusi dalam memperluas penyampaian ilmu kepada masyarakat. Inisiatif seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform pembangunan intelektual dan pembentukan sahsiah yang holistik, sekali gus memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang dinamik dan relevan dengan keperluan semasa.
