Program Telaah telah diadakan pada 8 Jun 2026 di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru. Siri ketiga ini mengangkat sebuah karya istimewa berjudul Dark Academia: How Universities Die, hasil penulisan Peter Fleming untuk dibincangkan secara kritis mengenai perubahan sistem pendidikan tinggi moden, khususnya bagaimana universiti semakin dipengaruhi oleh tekanan produktiviti. Program ini menampilkan dua panel akademik berpengalaman iaitu Prof. Emerita Dr. Durrishah Idrus, mantan Timbalan Naib Canselor UTM dan kini sebagai Naib Canselor dan Ketua Eksekutif IJN University College dan Prof. Dr. Naomie Salim, Pengarah, UTM Big Data Center, Institut Penyelidikan Saintifik dan Industri Ibnu Sina manakala sesi dikendalikan oleh moderator Prof. Dr. Abdul Rasyid Husain, Penolong Naib Canselor dan Penyelaras Akademik, UTM.

Moderator program memulakan perbincangan dengan menerangkan serba sedikit mengenai buku Dark Academia: How Universities Die. Buku ini merupakan sebuah karya sosiologi kritikal yang meneliti transformasi universiti moden dalam era neoliberalisme. Fleming berhujah bahawa universiti kini semakin dipengaruhi oleh logik korporat yang mengutamakan kecekapan, keuntungan dan prestasi berbanding fungsi asalnya sebagai pusat pengembangan ilmu dan pembentukan insan. Menurut beliau, budaya “profesionalisme toksik” telah menggantikan pencarian ilmu yang autentik dengan obsesi terhadap metrik produktiviti, sekali gus menjadikan universiti sebagai “institusi zombie” yang masih mengekalkan ritual akademik tetapi kehilangan semangat intelektualnya.

Dalam sesi perbincangan mengenai isu yang dibangkitkan oleh Fleming, Prof. Emerita Dr. Durrishah Idrus menyoroti realiti semasa pendidikan tinggi, khususnya di universiti awam yang semakin terikat dengan tuntutan korporatisasi. Menurut beliau, pengurangan peruntukan kerajaan telah memaksa institusi pendidikan tinggi mengamalkan pendekatan yang lebih berorientasikan kewangan, termasuk langkah penjimatan kos serta penekanan terhadap keuntungan dan kerugian institusi. Keadaan ini secara tidak langsung telah mengalihkan sebahagian fokus universiti daripada penyediaan pendidikan berkualiti kepada usaha memastikan kelangsungan operasi organisasi. Walaupun perubahan ini perlu difahami dalam konteks cabaran semasa, persoalan utama yang timbul ialah sama ada transformasi tersebut benar-benar menyumbang kepada usaha melahirkan graduan yang berilmu, berdaya saing dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Mengulas isu yang sama, Prof. Dr. Naomie Salim menegaskan bahawa misi asas universiti adalah untuk menjana, memelihara dan menyebarkan ilmu pengetahuan demi kepentingan masyarakat. Namun, beliau berpendapat bahawa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang sepatutnya berfungsi sebagai alat pengukuran kini telah menjadi matlamat utama institusi. Akibatnya, pencapaian ranking universiti dan indikator kuantitatif lain sering diberikan keutamaan berbanding impak sebenar ilmu terhadap masyarakat. Beliau menekankan bahawa aspek seperti pembangunan pemikiran kritis, budaya ilmu, integriti akademik dan kesejahteraan warga universiti merupakan elemen yang lebih signifikan dalam menentukan kejayaan jangka panjang sesebuah institusi.



Secara keseluruhannya, moderator menjelaskan kekuatan utama buku ini terletak pada keberaniannya mencabar naratif dominan mengenai kecemerlangan, inovasi dan daya saing dalam pendidikan tinggi. Fleming tidak menawarkan penyelesaian mudah, sebaliknya mengemukakan diagnosis yang mendalam terhadap krisis yang sedang dihadapi universiti moden. Karya ini mengajak pembaca menilai semula tujuan sebenar pendidikan tinggi serta memahami bahawa keletihan, tekanan dan kekecewaan dalam dunia akademik bukan semata-mata berpunca daripada kelemahan individu, tetapi merupakan manifestasi kepada sebuah sistem yang semakin dipacu oleh logik pasaran dan bukannya nilai ilmu.
