Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam pemerkasaan ilmu, warisan dan inovasi melalui penganjuran Cultural Intelligence Forum: Shaping Future Libraries Through Heritage and Museum Innovation serta Pameran Warisan Budaya Nusantara sempena Sambutan Hari Pustakawan Malaysia 2026 yang berlangsung di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru pada 5 Jun 2026.

Program anjuran Jabatan Perpustakaan UTM ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTM, Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM), dan Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM). Penganjuran ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh peranan perpustakaan sebagai institusi ilmu yang dinamik, pemelihara warisan budaya serta pemangkin inovasi selaras dengan tema Hari Pustakawan Malaysia 2026, Perpustakaan Memacu Kemajuan Negara.

Program tersebut berjaya menghimpunkan peserta secara fizikal dan dalam talian daripada pelbagai universiti awam dan swasta, institusi penyelidikan, perpustakaan serta agensi luar, sekali gus menyediakan platform perkongsian ilmu dan jaringan profesional yang signifikan dalam bidang kepustakawanan, warisan dan pengurusan pengetahuan.

Forum yang menjadi acara utama program menampilkan tiga tokoh berpengalaman daripada bidang akademik, kepustakawanan dan pengurusan warisan budaya. Antara panel jemputan ialah Prof. Dr. Andi Ima Kesuma, Profesor Universitas Negeri Makassar, Indonesia yang terkenal dengan kepakaran yang luas dalam bidang antropologi budaya, sejarah masyarakat Bugis, serta kajian diaspora dan identiti Nusantara. Turut berkongsi pentas ialah Puan Zaharah Binti Abd Samad, bekas Ketua Pustakawan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan perkhidmatan pelanggan, pembangunan koleksi, learning commons dan transformasi perpustakan.

Melengkapkan barisan panel ialah Encik Mohd Azlan Hafiz Bin Mohti, Kurator Muzium Diraja Abu Bakar, Istana Besar Johor, yang membawa perspektif unik mengenai pemeliharaan warisan, penyelidikan arkeologi, pengurusan muzium dan penghayatan sejarah dalam era moden. Sesi forum telah dikendalikan oleh Cik Haslina Binti Othman, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Jabatan Perpustakaan UTM, yang bertindak sebagai moderator dalam mengupas pelbagai isu berkaitan masa depan perpustakaan, pemeliharaan warisan budaya dan inovasi institusi memori.

Perbincangan yang berlangsung sepanjang forum membuka ruang kepada peserta untuk menelusuri hubungan antara warisan budaya, muzium dan perpustakaan dalam membentuk ekosistem ilmu yang lebih lestari dan relevan. Para panel berkongsi pandangan mengenai bagaimana institusi perpustakaan dan warisan boleh memanfaatkan teknologi, pendigitalan serta pendekatan inovatif bagi memperluaskan akses kepada ilmu, memperkukuh keterangkuman masyarakat dan memastikan khazanah budaya terus dipelihara untuk generasi akan datang. Pelbagai pengalaman dan amalan terbaik yang dikongsikan oleh panel turut memberi perspektif baharu kepada peserta mengenai peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang bukan sahaja menyimpan maklumat, malah berfungsi sebagai penghubung antara sejarah, budaya dan pembangunan masa depan. Sesi soal jawab yang berlangsung selepas forum turut menyaksikan penglibatan aktif peserta yang mengemukakan pandangan serta persoalan berkaitan cabaran dan peluang institusi perpustakaan dalam era transformasi digital.

Dalam masa yang sama, Pameran Warisan Budaya Nusantara yang dianjurkan dengan kerjasama KALAM menjadi antara tarikan utama kepada para pengunjung. Pameran tersebut mengetengahkan pelbagai koleksi, bahan rujukan dan sumber berkaitan warisan budaya serumpun yang memperlihatkan persamaan nilai, identiti dan tradisi masyarakat Nusantara. Inisiatif ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran pengunjung, malah mengukuhkan peranan perpustakaan sebagai pusat pemeliharaan dan penyebaran khazanah intelektual yang bernilai tinggi.

Penganjuran forum dan pameran secara serentak mencerminkan pendekatan holistik UTM dalam mengintegrasikan pemeliharaan warisan budaya dengan agenda inovasi dan transformasi digital. Kerjasama erat antara UTM, PPM, KALAM, Universitas Negeri Makassar, Perpustakaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia serta Muzium Diraja Abu Bakar, Istana Besar Johor turut memperlihatkan kekuatan jaringan strategik yang merentasi sektor akademik, profesional dan warisan budaya.

Sebagai simbolik sambutan Hari Pustakawan Malaysia 2026 yang diraikan pada 6 Jun setiap tahun, satu majlis pemotongan pulut kuning turut diadakan bagi menghargai jasa dan sumbangan warga pustakawan dalam memperkasa budaya ilmu, menyokong aktiviti penyelidikan serta menyediakan akses kepada maklumat yang berkualiti kepada masyarakat. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar, lawatan ke pameran dan jamuan tengah hari.

Melalui penganjuran program ini, UTM sekali lagi membuktikan komitmennya dalam menerajui usaha memperkasa perpustakaan sebagai pemangkin ilmu, pemelihara warisan budaya dan peneraju inovasi yang menyumbang kepada pembangunan negara serta pembentukan masyarakat berpengetahuan dan berbudaya.

Share this :
UTM Open Day