KUALA LUMPUR, 8 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) perlu melakukan anjakan paradigma yang berani dengan beralih daripada melahirkan sekadar “pekerja sastera” (literature workers) kepada “pekerja produktif” (productive workers) bagi memastikan kelangsungan ekonomi negara. Intipati penting ini menjadi tumpuan utama dalam Program Imbasan: Majlis Bersama Naib Canselor (MBNC) April 2026 bertajuk “Mengimbau Sejarah, Membina Legasi Cemerlang” yang berlangsung di Read Cafe @UTMKL, petang tadi.

Program yang dikendalikan oleh moderator Prof. Madya Dr. Muhammad Abd Hadi, Eksekutif Penyelidik UTM, Jabatan Canseleri, dengan menampilkan dua panel utama iaitu Prof. Dr. Asan Ali bin Golam Hassan @ Mohammad, Profesor Khas dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) serta Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nurulakmar binti Abu Husain, Dekan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT). Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Kampus Cawangan UTM Kuala Lumpur, YBrs. Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad, Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, serta Dekan AHIBS, Prof. Dr. Rosmini Omar dan juga Puan Nik Masriza Zakaria selaku Timbalan Ketua Pustakawan UTMKL.

Mengulas mengenai sejarah institusi, Prof. Dr. Asan Ali bin Golam Hassan  mendedahkan bahawa penubuhan UTM pada tahun 1971 merupakan respons langsung kepada objektif kelima Rukun Negara. Beliau menekankan bahawa UTM dibentuk untuk mewujudkan masyarakat progresif berasaskan sains dan teknologi pasca-tragedi 1969. Sejajar dengan peranan sejarah ini, beliau menegaskan bahawa graduan UTM kini mesti mampu mencipta produk IT nyata dan inovasi bagi membantu negara keluar daripada “perangkap pendapatan sederhana” serta mendepani isu inflasi dan pengangguran.

Dalam aspek kepimpinan akademik, Dekan MJIIT, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nurulakmar binti Abu Husain, menyatakan bahawa evolusi UTM sebagai Universiti Penyelidikan (RU) sejak 2010 telah menuntut perubahan besar dalam peranan fakulti. Beliau menekankan kepentingan staf akademik memiliki kelayakan profesional (Ir. atau Ts.) bagi memastikan program universiti diiktiraf di peringkat global. Tambah beliau, elemen paling kritikal dalam membina legasi bukanlah sekadar ranking, sebaliknya adalah nilai adab dan budaya institusi yang diibaratkan sebagai akar tunjang kekuatan sebuah universiti. Menggunakan metafora sebatang pokok, beliau menjelaskan bahawa adab merupakan akar tunjang yang memberikan kestabilan kepada sesebuah organisasi.

Perbincangan turut menyentuh tentang kelangsungan masa depan universiti dalam era digital, di mana Prof. Hassan mencadangkan agar UTM berperanan sebagai pusat rujukan global tanpa terlalu bergantung kepada infrastruktur fizikal semata-mata. Dalam masa yang sama, Dr. Nurulakmar memperkenalkan konsep MJIIT 2.0 yang menekankan autonomi kewangan serta kerjasama strategik peer-to-peer di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan negara ASEAN. Kedua-dua panel turut sependapat bahawa nilai dalaman seperti adab, integriti dan kualiti pendidikan perlu diberi keutamaan berbanding pencapaian ranking semata-mata, kerana kekuatan dalaman inilah yang akan menentukan reputasi sesebuah universiti di mata dunia.

Menyentuh strategi masa depan, sesi ini membincangkan keperluan UTM untuk terus relevan bagi tempoh 30 tahun akan datang melalui model antarabangsa seperti “MJIIT 2.0”. Model ini menyaksikan peralihan MJIIT daripada penerima bantuan kepada rakan kongsi setaraf yang kini menjadi hab latihan bagi profesional dari negara ASEAN dan Afrika. Prof. Dr. Asan Ali turut menyarankan agar UTM berani melakukan perubahan struktur untuk menjadi “jangkar” pendidikan bagi negara-negara membangun di rantau lain.

Sesi ini merumuskan bahawa kualiti graduan yang berpaksikan integriti dan kemahiran produktif adalah kunci utama kepada kelestarian legasi cemerlang UTM di persada dunia. Secara keseluruhannya, program ini berjaya membuka ruang perbincangan yang kritikal dan membina dalam usaha memperkukuh peranan UTM sebagai institusi yang bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran tinggi, tetapi juga individu yang produktif, berintegriti dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara serta masyarakat global.

Share this :
UTM Open Day