BATU PAHAT, 25 Jun 2026 – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi meninjau amalan terbaik dalam pembangunan dan pengurusan galeri serta ruang pameran perpustakaan.

Delegasi UTM yang diketuai oleh Puan Syahranah binti Ahmad Raqi, Timbalan Pustakawan, bersama 12 orang pegawai dan kakitangan telah disambut oleh wakil PTTA, iaitu Encik Suhaimi Mohd Sukor dan Puan Norhaslini Abd. Alim.

Lawatan ini bertujuan mendapatkan pendedahan mengenai perancangan, pembangunan dan pengurusan galeri serta muzium institusi sebagai persediaan pembangunan Muzium Warisan Universiti UTM. Inisiatif ini diharap dapat memperkukuh usaha universiti dalam memelihara, mendokumentasi dan mempamerkan sejarah, warisan serta pencapaian UTM kepada warga kampus, alumni dan masyarakat.

Sepanjang sesi lawatan, delegasi berpeluang meninjau ruang galeri, ruang kerja dan pameran PTTA serta mengikuti sesi perkongsian mengenai konsep pembangunan galeri, pengurusan koleksi, penyampaian naratif sejarah institusi dan pengalaman pelawat. Perbincangan turut memberi fokus kepada amalan terbaik dalam memperkukuh peranan perpustakaan sebagai hab ilmu, pemeliharaan warisan serta pemangkin EduTourism universiti.

Lawatan ini bukan sahaja membuka ruang kepada pertukaran idea dan pengalaman antara kedua-dua institusi, malah memperkukuh jaringan kerjasama strategik dalam usaha merealisasikan pembangunan Muzium Warisan Universiti UTM sebagai pusat rujukan, pemeliharaan memori institusi dan penghayatan warisan universiti untuk generasi akan datang.

Share this :
UTM Open Day