Program “Bye-Bye Lenguh! Rahsia Relaksasi Untuk Tubuh yang Lebih Segar” telah berjaya dilaksanakan pada 29 Jun 2026 (Isnin) di Library XChange Hub, Aras 2, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Program ini merupakan salah satu inisiatif Jabatan Perpustakaan dalam memperkukuh peranannya sebagai pusat yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat, di samping memperkasakan Library XChange Hub sebagai platform pembangunan diri, kesejahteraan serta penglibatan komuniti. 

Program ini dikendalikan oleh Puan Rozita binti Mohd Radzi serta dibantu dua orang pelatih daripada MamaCare Wellness & Spa yang berpengalaman lebih daripada 10 tahun mengendalikan pelbagai program kesejahteraan komuniti termasuk kerjasama bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Seramai 15 orang peserta yang terdiri daripada staf UTM, pelajar dan komuniti luar telah menghadiri program ini. Sepanjang sesi ini berlangsung, peserta didedahkan dengan teknik urutan secara asas yang mudah dipraktikkan sendiri, merangkumi urutan kepala, tangan dan raut wajah bagi membantu melegakan ketegangan otot, mengurangkan stres serta keletihan akibat rutin harian.

Selain penerangan teori, peserta turut berpeluang mengikuti sesi praktikal secara hands-on bagi mempelajari teknik urutan yang betul dan selamat. Penceramah turut berkongsi amalan penjagaan kendiri (self-care), kaedah relaksasi serta tips menjaga kesejahteraan fizikal untuk diamalkan di rumah atau di tempat kerja.

Penganjuran program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan secara menyeluruh serta membudayakan amalan kesejahteraan dalam kalangan warga universiti dan komuniti.

Sambutan yang menggalakkan daripada para peserta membuktikan program berbentuk pendidikan kesihatan seperti ini memberi manfaat dan wajar diteruskan pada masa akan datang.

 

Share this :
UTM Open Day