JOHOR BAHRU, 16 Julai 2026 – Program Imbasan Majlis Bersama Naib Canselor (Julai) 2026 yang bertemakan “Adab dan Kebijaksanaan” telah diadakan di Ruang Lestari, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) UTM Johor Bahru dan secara dalam talian bagi memperkukuh nilai sahsiah, kepimpinan dan budaya intelektual. Program ini menampilkan tiga (3) orang panel iaitu Prof. Madya Dr. Shafinaz Binti Shahir, Dekan, Fakulti Sains, UTM, En. Dzulhelmi Mohd Razali, Timbalan Pendaftar, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM dan Saudara Muhammad Umar Fitri Bin Jamaludin, Naib Presiden Postgraduate Student Society (PGSS). Sesi kali ini telah dikendalikan oleh Dr. Mohd Fadthul Ikmal bin Misnal, Penolong Pendaftar Pejabat Strategi & Kesohoran Global Jabatan Canseleri, UTM, Johor, UTM.

Dr. Mohd Fadthul Ikmal selaku moderator memulakan perbincangan dengan mengemukakan soalan kepada Prof. Madya Dr. Shafinaz mengenai langkah memastikan penglibatan pensyarah bukan sekadar menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, malah benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat. Menjawab persoalan tersebut, Prof. Madya Dr. Shafinaz menjelaskan bahawa ramai pensyarah mampu menghasilkan penerbitan berimpak tinggi, namun kejayaan sebenar ialah apabila hasil penyelidikan tersebut dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan negara. Beliau menekankan bahawa penyelidikan perlu diterjemahkan kepada penyelesaian yang praktikal selaras dengan aspirasi universiti. Sebagai contoh, beliau mengetengahkan kejayaan Prof. Dr. Suhairi daripada Fakulti Sains yang telah menghasilkan inovasi dikenali sebagai MyScan, iaitu teknologi pengimbasan kargo yang membantu meningkatkan tahap keselamatan negara serta menyokong kerajaan dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa. Selain itu, beliau turut berkongsi kejayaan Prof. Dr. Nik Ahmad yang menghasilkan inovasi berasaskan bahan termaju dan nanoteknologi melalui penciptaan krim antibakteria yang berpotensi memberi manfaat kepada sektor kesihatan dan masyarakat secara keseluruhan. Contoh-contoh ini membuktikan bahawa penyelidikan universiti bukan sahaja menyumbang kepada dunia akademik, malah mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Seterusnya, En. Dzulhelmi Mohd Razali memberi pandangan mengenai kepentingan membudayakan adab dan kebersihan dalam kalangan warga kampus.. Menurut beliau, nilai-nilai murni tidak seharusnya sekadar menjadi slogan, sebaliknya perlu diamalkan dalam kehidupan seharian. Beliau menjadikan budaya masyarakat Jepun sebagai contoh terbaik, hasil pengalaman menetap di negara tersebut selama tiga bulan. Menurutnya, masyarakat Jepun tanpa mengira usia sangat menitikberatkan kebersihan, disiplin dan sikap saling menghormati kerana nilai-nilai tersebut diterapkan sejak kecil. Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa adab perlu bermula daripada diri sendiri sebelum berkembang kepada komuniti universiti dan akhirnya menjadi budaya dalam masyarakat yang lebih luas.

Sementara itu, Saudara Muhammad Umar Fitri Bin Jamaludin menjawab persoalan moderator mengenai cara pelajar mengekalkan kebijaksanaan menggunakan teknologi Artificial Intelligence (AI) tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan. Beliau menjelaskan bahawa AI kini digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang seperti pengekodan, penyelidikan, penulisan e-mel rasmi dan proses pembelajaran. Walau bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa AI hanyalah alat bantuan yang memudahkan urusan, bukannya pengganti kepada usaha, pemikiran kritis dan kreativiti manusia. Pelajar tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada AI dari awal hingga akhir sesuatu tugasan. Beliau turut mengimbau pengalaman generasi terdahulu yang berjaya menuntut ilmu hanya dengan berpandukan buku dan nota kuliah tanpa bantuan teknologi AI. Oleh itu, pelajar masa kini perlu menggunakan AI secara beretika dan bijaksana, sambil terus mengembangkan kemahiran berfikir serta mengekalkan nilai-nilai murni.

Kesimpulannya, melalui diskusi ini dapat dirumuskan bahawa kecemerlangan sesebuah universiti bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik atau kemajuan teknologi, tetapi juga melalui impak penyelidikan kepada masyarakat, penghayatan adab dalam kehidupan seharian serta penggunaan AI secara bertanggungjawab. Ilmu pengetahuan sentiasa boleh dipelajari dan dipertingkatkan, namun pembentukan adab yang baik perlu bermula daripada diri sendiri agar dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi intelek, malah berakhlak mulia dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara lestari.



Share this :
UTM Open Day