JOHOR BAHRU, 9 Julai – Jabatan Perpustakaan UTM meneruskan usaha membudayakan amalan membaca dan perkongsian ilmu melalui penganjuran Program Read & Relax Siri 9/2026 dengan kerjasama Universitas Negeri Surabaya (UNESA), Indonesia berlangsung pada 9 Julai 2026 (Khamis), dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru yang turut disiarkan secara dalam talian melalui Facebook dan YouTube Jabatan Perpustakaan UTM. 

Sesi yang dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa UNESA menampilkan Saudari Fauly Awina sebagai moderator dan panel terdiri daripada Saudari Anissia Anggun Kinanti dan Saudari Farah Dina. Panel pertama, Saudari Anissia Anggun Kinanti mengupas buku Project Hail Mary karya Andy Weir yang menonjolkan elemen sains, pemikiran kritis dan keberanian menghadapi cabaran. Beliau menekankan bahawa kegagalan bukanlah penghalang kepada kejayaan dengan menyatakan bahawa watak utama dalam buku tersebut sentiasa berani mencuba walaupun berdepan pelbagai kesukaran. 

Antara petikan yang paling menyentuh hati ialah:

“Seorang guru itu support system paling dekat ialah murid-muridnya sendiri.”

Petikan tersebut menggambarkan hubungan erat antara guru dan pelajar serta bagaimana penghargaan daripada pelajar mampu menjadi sumber motivasi kepada seorang pendidik.

Selain itu, panel turut berkongsi mesej yang memberi inspirasi kepada bakal pendidik bahawa keyakinan diri dibina melalui pengalaman dan keberanian untuk mencuba. Menurut beliau, watak utama dalam buku tersebut menunjukkan bahawa seseorang mampu mencapai kejayaan apabila tidak berputus asa walaupun sering melakukan kesilapan. 

Panel kedua, Saudari Farah Dina mengupas buku Flutter Application Development yang memperkenalkan pembangunan aplikasi pelbagai platform secara sistematik. Beliau menjelaskan bahawa teknologi harus dimanfaatkan sebagai alat untuk menyelesaikan masalah dan menyokong proses pembelajaran. Antara perkara yang ditekankan ialah pembangunan aplikasi pendidikan yang mampu memudahkan pengurusan pembelajaran dan meningkatkan pengalaman pengguna. 

Salah satu petikan yang menarik perhatian ialah:

“Aplikasi yang berjaya bukan sekadar aplikasi yang bagus, tetapi aplikasi yang mampu memberikan penyelesaian kepada masalah yang berlaku dalam kehidupan.”

Program turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai pemacu pembangunan negara. Panel bersetuju bahawa pendidikan dan teknologi tidak boleh dipisahkan, malah perlu bergerak seiring bagi melahirkan generasi yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dunia yang semakin pesat. 

Secara keseluruhannya, Program Read & Relax Siri 9/2026 berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh budaya membaca, memupuk perkongsian ilmu serta meningkatkan kesedaran tentang peranan pendidikan dan teknologi dalam kehidupan masa kini. Program ini turut memberi inspirasi kepada peserta untuk terus menimba ilmu, berfikir secara kritis dan berani meneroka peluang baharu demi kecemerlangan diri dan masyarakat.

 



Share this :
UTM Open Day