JOHOR BAHRU, 19 Ogos 2026 – Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berbesar hati menerima kunjungan delegasi seramai 23 orang peserta Exchange Program on Multidisciplinary and SDG-Oriented Research and Development daripada Cagayan State University (CSU), Filipina pada jam 2.30 petang.

Kunjungan ini menjadi salah satu wadah bagi memperkenalkan peranan dan perkhidmatan Jabatan Perpustakaan UTM sebagai pusat ilmu, pembelajaran serta ruang interaksi akademik yang menyokong keperluan warga universiti dan komuniti. Kehadiran delegasi antarabangsa turut mencerminkan keterbukaan Jabatan Perpustakaan UTM dalam menjalin hubungan serta memperkukuh jaringan kerjasama akademik di peringkat global.

Sepanjang lawatan, delegasi telah diberikan sesi penerangan mengenai kemudahan, perkhidmatan dan ruang pembelajaran yang disediakan di PRZS. Para peserta turut dibawa meninjau beberapa lokasi menarik, antaranya Galeri Raja Zarith Sofiah, Galeri Tokoh Penyelidik, Sudut Bacaan Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor, Bilik Perbincangan serta Game Zone yang dilengkapi dengan kemudahan permainan digital PlayStation 5.

Selain meneroka kemudahan perpustakaan, delegasi turut berpeluang menyelami keunikan budaya dan warisan tradisional Malaysia melalui aktiviti interaktif yang disediakan. Antaranya termasuk pengalaman memakai samping serta permainan tradisional seperti chapteh, congkak, teng-teng dan batu seremban.

Aktiviti tersebut bukan sahaja memberikan pengalaman baharu kepada para peserta, malah menjadi ruang pertukaran budaya yang menyeronokkan apabila delegasi berpeluang mengenali secara lebih dekat permainan tradisional dan warisan masyarakat Malaysia. Suasana interaktif sepanjang aktiviti turut mewujudkan kemesraan serta menggalakkan komunikasi antara delegasi dan warga UTM.

Kunjungan ini memberikan pengalaman yang bermakna kepada delegasi CSU dalam mengenali dengan lebih dekat kemudahan, perkhidmatan dan ruang pembelajaran di PRZS, di samping membuka peluang untuk berkongsi pengetahuan serta pengalaman dalam suasana akademik yang lebih santai dan inklusif.

Lawatan ini turut menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan dan jaringan antarabangsa antara UTM dengan Cagayan State University, Filipina, khususnya dalam menyokong agenda pendidikan, penyelidikan, pembangunan mampan serta pertukaran ilmu dan budaya. Semoga kunjungan ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi, perkongsian ilmu dan program antarabangsa antara kedua-dua institusi pada masa akan datang.

Share this :
UTM Open Day