JOHOR BAHRU, 17 Ogos 2026 – Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pulai Perdana yang melibatkan seramai 45 orang pelajar dan empat orang guru pengiring.

Kunjungan ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai kemudahan, perkhidmatan serta ruang pembelajaran yang disediakan di PRZS. Rombongan telah disambut dengan sesi taklimat fasiliti yang disampaikan oleh Puan Kartini Ibrahim, yang menerangkan dengan lebih lanjut mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang tersedia untuk dimanfaatkan oleh para pengunjung.

Para pelajar dan guru mengikuti sesi penerangan mengenai kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), UTM Johor Bahru.

Para pelajar menghayati khazanah sejarah dan warisan melalui kunjungan ke Pameran Fotografi, disusuli sesi penerangan mengenai koleksi dan bahan bersejarah yang dipamerkan.

Sepanjang kunjungan tersebut, para pelajar berpeluang melawat lokasi pameran utama seperti Pameran Fotografi Allahyarham Tan Sri Datuk Ahmad Perang, Galeri Raja Zarith Sofiah, dan Sudut Bacaan Tan Sri Salleh. Lebih bermakna, lawatan tersebut disusuli dengan penyertaan para pelajar dalam Program Telaah Siri 7/2026 bersempena Bulan Kebangsaan ke-69.

Program tersebut membincangkan buku bertajuk “Ahmad Perang: Meluru Laju di Rel Waktu” hasil karya Kassim Thukiman, Sitahrahmah Awang, dan Ahmad Fadhli Syed Hassan. Penyertaan ini memberi peluang keemasan kepada pelajar untuk berinteraksi dengan tokoh serta mendalami sejarah negara melalui perbincangan intelektual.

Inisiatif lawatan ini diharapkan dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna, sekaligus menyemarakkan minat pelajar terhadap budaya membaca dan kecintaan kepada ilmu pengetahuan selaras dengan hasrat UTM dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berpengetahuan.

Share this :
UTM Open Day