Sesi Read & Relax diteruskan lagi pada kali ini dengan kerjasama bersama Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan bersempena dengan Siri Jelajah Read@Uni. Sesi kali ini menampilkan wakil-wakil dari fakulti untuk turut serta berkongsi bahan bacaan yang telah mereka baca daripada buku masing-masing.

Panel pertama adalah Dr. Muhammad Abd Hadi Bunyamin, Pensyarah Kanan dari Sekolah Pendidikan. Beliau telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk The 21 Irrefutable Laws of Leadership. Buku ini telah membincangkan tentang ciri-ciri pemimpin yang mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang merangkumi politik, perniagaan, sukan, agama dan sebagainya. Ianya juga merupakan sebahagian daripada pengalaman peribadi penulis yang berpengalaman dalam bidang kepimpinan lebih dari 30 tahun. Pengulas merumuskan aspek-aspek yang dibincangkan di dalam buku ini sebenarnya adalah terdapat dalam 4 kerangka sifat-sifat nabi iaitu : siddiq, amanah, tabligh, fatanah, yang mana sifat-sifat mulia ini adalah cerminan kepada sifat-sifat pemimpin yang berjaya dan cemerlang dalam sesebuah organisasi.

Dr. Muhammad Abd Hadi Bunyamin, Pensyarah Kanan dari Sekolah Pendidikan mengulas buku bertajuk ‘The 21 Irrefutable Laws of Leadership’

 

Puan Zaharah Ja’afar, Mahasiswa Phd, mengulas buku bertajuk Akademia Baru Inovasi Pembelajaran

Panel yang kedua pula juga dari sekolah pendidikan, tetapi kali ini merupakan mahasiswa Phd. Puan Zaharah Ja’afar telah berkongsi cerita tentang buku yang bertajuk Akademia Baru Inovasi Pembelajaran. Buku hasil tulisan dari bekas Naib Canselor UTM iaitu Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang. Buku ini merupakan buku yang dipinjam dari perpustakaan UTM oleh pengulas, sebagai salah satu sumber dalam persiapan beliau untuk menghadapi pertandingan NALI di peringkat UTM dan secara tidak langsung bagi memahami secara mendalam maklumat berkaitan NALI ini. Secara teorinya NALI adalah singkatan daripada New Academia Learning Innovation yang merupakan suatu model kerangka yang mengenengahkan inovasi pembelajaran berpusatkan murid dengan falsafah-falsafah dan prinsip-prinsip pembelajaran yang pelbagai ke arah mencapai matlamat pendidikan keusahawanan. Pengulas menceritakan pengalaman pahit manis beliau ketika menyertai pertandingan tersebut dan sehingga berjaya merangkul Silver Awards.

Panel yang terakhir juga merupakan mahasiswa Phd, dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim. Cik Asma Nurul ‘Aqilah Mahpuz telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Kaum-kaum Yang Pupus. Buku ini mengisahkan tentang kisah-kisah para nabi bersama-sama dengan kaum-kaum yang menerima hukuman Allah disebabkan mereka mengingkari suruhan Allah dan para Nabi yang diutuskan. Kisah-kisah yang diceritakan adalah berdasarkan Al-Quran; mukjizat yang diturunkan untuk menjadi panduan dan pedoman kepada umat akhir zaman. Terlalu banyak kisah-kisah perjuangan para Nabi dalam menegakkan kalimah Allah yang boleh dijadikan ibrah kepada semua yang membacanya. Antara kisah-kisah yang diceritakan dalam buku ini ialah kisah Nabi Nuh, Nabi Luth, Nabi Ibrahim, Kaum Thamud, Kaum A’ad dan banyak lagi peristiwa-peristiwa penentangan oleh kaum-kaum yang dimurkai Allah SWT. Pengulas menyatakan ibrah yang paling besar yang perlu dihayati oleh umat zaman ini adalah peristiwa-peristiwa yang tercatat dalam AlQuran ini adalah bukti kekuasaan dan keagungan Allah kepada hamba-hamba sama ada yang beriman atau melanggar perintah Nya. Ternyata ianya adalah kisah benar bersumberkan Al-Quran dan bukanlah dongengan semata-mata.

Cik Asma Nurul ‘Aqilah Mahpuz, Mahasiswa Phd sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim mengulas buku bertajuk Kaum-kaum Yang Pupus

Disediakan oleh Puan Norashikin Binti Johari.

Share this :