KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2026 – Kualiti bukan sekadar memenuhi standard atau memastikan sesuatu proses dilaksanakan dengan betul, tetapi bagaimana setiap proses mampu mencipta nilai dan memberikan pengalaman terbaik kepada pengguna.
Berteraskan prinsip tersebut, Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) menganjurkan dua sesi bersama Prof. Ir. Dr. Sha’ri Mohd Yusof, Profesor Lantikan Khas di Graduate School of Business Administration, Meiji University, Tokyo, yang kini merupakan Profesor Pelawat Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), UTM, bagi memperkukuh pemahaman dan pembudayaan kualiti dalam organisasi.

Program dimulakan dengan sesi “Strategic Lean Thinking for Library Service Excellence”, yang memberi pendedahan kepada warga perpustakaan mengenai aplikasi Lean Thinking dalam meningkatkan kecekapan proses, mengurangkan aktiviti yang tidak memberikan nilai serta membudayakan penambahbaikan berterusan.
Antara prinsip yang ditekankan ialah keperluan untuk “always go to where the problem is” menerusi pendekatan Genba Walk, iaitu melihat sendiri situasi sebenar di tempat sesuatu proses atau perkhidmatan berlaku, memahami punca permasalahan dan mendapatkan gambaran yang lebih tepat sebelum sesuatu penambahbaikan dilaksanakan.

Prof. Sha’ri turut menekankan bahawa pendekatan Lean memerlukan organisasi sentiasa mengenal pasti dan menghapuskan pembaziran dalam setiap proses, sama ada dalam bentuk masa menunggu, langkah kerja yang tidak perlu, pengulangan tugas atau proses yang tidak memberikan nilai secara langsung kepada pengguna.
Pada masa yang sama, budaya Kaizen, atau continuous improvement, perlu menjadi sebahagian daripada amalan kerja harian. Penambahbaikan tidak semestinya bermula dengan perubahan besar, sebaliknya boleh digerakkan melalui tindakan kecil yang konsisten dan berterusan bagi menghasilkan proses yang lebih cekap, mudah dan bermakna kepada pengguna.

Pendekatan ini mendorong warga perpustakaan menilai semula perkhidmatan daripada perspektif pengguna dengan mengenal pasti nilai sebenar, mempermudah proses dan menambah baik perkara yang perlu. Dalam landskap perkhidmatan yang semakin dinamik, kecemerlangan bukan sahaja tentang what we deliver, but how every process shapes the experience of our users. Inilah asas kepada Lean, memastikan setiap proses lebih cekap, bermakna dan memberi nilai kepada pengguna.
Program kemudiannya diteruskan dengan Bicara Karya: Meet & Greet bersama Penulis yang mengetengahkan buku A Life in Quality, karya Prof. Sha’ri. Sesi anjuran Jabatan Perpustakaan UTMKL dengan sinergi bersama MJIIT itu turut dihadiri oleh Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad, Ketua Kampus Cawangan (KKC UTMKL) dan juga Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Nurulakmar Abu Husain, Dekan MJIIT, serta membawa peserta menyelami perjalanan Prof. Sha’ri dalam bidang kualiti, “from a classroom in Kulai to the factory floor of a nation, and into the lecture halls of the world.”

Dalam perkongsiannya, Prof. Sha’ri turut mengangkat kepentingan pengalaman sebenar dalam membentuk cara berfikir dan budaya kerja. Menurut beliau, “experience is more powerful than being told”, kerana perubahan minda tidak akan berlaku hanya melalui penerangan atau arahan semata-mata. Sebaliknya, perubahan memerlukan seseorang untuk mengalami sendiri sesuatu proses dan berani melakukan sesuatu dengan cara yang berbeza “You cannot change mindset without doing things differently.”
Perkongsian tersebut memperluas pengertian kualiti daripada sekadar sistem, standard atau metodologi kepada satu cara berfikir dan budaya untuk sentiasa melakukan sesuatu dengan lebih baik, belajar daripada pengalaman serta mencipta nilai kepada orang lain.

Program turut diserikan dengan jualan buku A Life in Quality dan sesi tanda tangan bersama penulis. Sebahagian hasil jualan akan disumbangkan kepada tabung endowmen pelajar dan staf UTM.

Gabungan kedua-dua sesi ini mencerminkan usaha Perpustakaan UTMKL membudayakan kualiti secara holistik daripada memahami prinsip, melihat sendiri realiti sesuatu proses, menghapuskan pembaziran dan melaksanakan penambahbaikan berterusan sehingga meletakkan pengalaman pengguna sebagai ukuran penting kecemerlangan perkhidmatan.