
Sesi bicara bertajuk “Profesor Pun Pernah Gagal – Daripada Rejection kepada Direction” menampilkan Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Prof. Ts. Dr. Zaidatun Tasir sebagai ahli panel, manakala Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Fadhil Md Din sebagai moderator. Sebelum perbincangan bermula, moderator memperkenalkan latar belakang dan sumbangan kedua-dua tokoh akademik tersebut, sekali gus memberikan gambaran tentang pengalaman serta kepakaran yang dibawa ke dalam sesi perkongsian.

Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail merupakan tokoh tersohor dalam bidang penyelidikan universiti, khususnya dalam bidang teknikal berkaitan teknologi membran. Beliau turut menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Mustafa Prize 2023, yang mencerminkan sumbangan beliau dalam bidang sains dan teknologi.
Seterusnya, Prof. Ts. Dr. Zaidatun Tasir selaku panel kedua berkongsi pengalaman beliau selama lebih tiga dekad dalam bidang akademik termasuk pengalaman menerajui Sekolah Pengajian Siswazah UTM. Dikenali melalui kepakaran dalam pembelajaran digital dan kecerdasan buatan dalam pendidikan, beliau turut mengimbas kenangan zaman persekolahan apabila pernah menulis cita-cita untuk menjadi dekan UTM pada sekeping kad berwarna kuning. Perkongsian tersebut memperlihatkan bagaimana impian sejak kecil boleh menjadi dorongan dalam membina perjalanan kerjaya. Beliau turut menegaskan bahawa dunia akademia perlu sentiasa berubah seiring dengan perkembangan semasa.

Perbincangan turut menyentuh cabaran yang lazim dihadapi dalam bidang akademik, termasuk penolakan manuskrip penyelidikan, permohonan geran yang tidak berjaya dan cabaran dalam penyeliaan. Kedua-dua ahli panel menekankan bahawa kegagalan bukanlah pengakhiran, sebaliknya peluang untuk menilai pendekatan, memperbaiki kelemahan dan menentukan hala tuju yang lebih baik. Perbincangan turut mengingatkan hadirin tentang kepentingan membina ketahanan diri, menerima teguran secara terbuka dan terus meningkatkan kompetensi bagi memperkukuh mutu penyelidikan serta kesarjanaan.

Sebelum sesi bicara, program turut menyediakan ruang interaksi menerusi sesi Coffee & Chill yang membolehkan hadirin berkenalan, bertukar pandangan dan mendapatkan nasihat kerjaya daripada profesor berpengalaman dalam suasana santai. Penganjuran Kopi-Kopi Bersama Profesor mencerminkan komitmen UTM dalam membina ekosistem akademik yang menyokong perkongsian ilmu, bimbingan rentas generasi dan pembangunan profesional berterusan. Melalui inisiatif ini, budaya kesarjanaan diharap dapat terus diperkukuh bagi melahirkan warga akademik yang berdaya tahan, progresif dan bersedia menghadapi perubahan dalam landskap pendidikan tinggi.