JOHOR BAHRU, 16 Oktober – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar UTM telah menganjurkan program Pages Of Wisdom – Human Library Siri 2/2026 bertemakan “Adab Intelektual” pada Jumaat, 16 Oktober 2026. Program ini mengetengahkan perkongsian pengalaman dan perjalanan pembangunan diri sebagai inspirasi kepada warga universiti, khususnya mahasiswa.
Sesi perkongsian menampilkan Saudara Muhammad Najmi Shah bin Muhammad Azam Shah, penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), yang merupakan pelajar Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Pembangunan Tanah dengan Kepujian daripada Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM Johor Bahru. Perkongsian beliau dikendalikan oleh moderator, Saudara Muhammad Umar Fitri bin Jamaluddin.

Program Human Library merupakan inisiatif yang menjadikan manusia sebagai “buku hidup” melalui perkongsian pengalaman, pengetahuan dan kisah kehidupan. Inisiatif ini bertujuan membuka minda, mencetuskan idea baharu serta memberikan peluang kepada peserta memahami sesuatu pengalaman daripada perspektif yang berbeza.
Dalam perkongsian tersebut, Saudara Muhammad Najmi Shah menjelaskan bahawa pencapaian yang diperoleh bukanlah matlamat utama beliau ketika melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kokurikulum dan pembangunan pelajar. Sebaliknya, penglibatan tersebut didorong oleh minat untuk mencuba perkara baharu, menimba pengalaman dan memperbaiki keupayaan diri.

Beliau turut berkongsi perjalanan daripada seorang pelajar yang pemalu kepada individu yang berani memikul tanggungjawab dalam persatuan pelajar sehingga diberi kepercayaan memegang jawatan kepimpinan. Pengalaman ini memperlihatkan bahawa perubahan diri memerlukan keberanian untuk keluar daripada zon selesa, kesediaan menerima cabaran dan usaha yang berterusan.

Mengulas tentang usaha mencapai matlamat, beliau menekankan kepentingan konsistensi dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Kalau you nak capai you punya goals ataupun dreams, you kena konsisten.”
Menurut beliau, kejayaan memerlukan usaha yang berterusan meskipun seseorang berdepan keletihan dan cabaran sepanjang perjalanan. Beliau turut mengingatkan mahasiswa agar berani merebut peluang yang tersedia, sama ada untuk menambah ilmu, membina pengalaman atau mengembangkan kemahiran insaniah.

Beliau juga menjelaskan bahawa setiap individu mempunyai pendekatan dan perjalanan tersendiri dalam mencapai kejayaan. Sehubungan itu, mahasiswa tidak seharusnya terlalu membandingkan pencapaian diri dengan orang lain, sebaliknya perlu mengenali potensi masing-masing dan memilih langkah yang sesuai untuk berkembang.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa penglibatan dalam aktiviti universiti perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab akademik. Sokongan keluarga dan rakan-rakan turut memainkan peranan penting dalam membantu seseorang menghadapi cabaran. Konsistensi juga perlu disertai kebijaksanaan mengurus tenaga serta kesediaan untuk berehat apabila diperlukan.
Ketika menyentuh tentang cara menghadapi tekanan dan kegagalan, beliau berkongsi kepentingan menenangkan diri sebelum membuat keputusan, mendapatkan pandangan daripada individu yang dipercayai serta memperkukuh kebergantungan kepada Allah SWT melalui doa dan tawakal.

Dalam sesi tersebut, Saudara Muhammad Najmi Shah turut berkongsi aspirasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dan menjadi pensyarah pada masa hadapan. Hasrat ini mencerminkan komitmennya untuk meneruskan proses pembelajaran serta berkongsi ilmu dan pengalaman bagi membantu generasi pelajar seterusnya.
Beliau turut menasihati mahasiswa, khususnya pelajar tahun pertama, agar berani keluar daripada zon selesa sejak awal pengajian. Kesediaan mencuba peluang baharu, menetapkan matlamat yang jelas dan membina hubungan dengan rakan yang positif dapat membantu mahasiswa meningkatkan keyakinan serta mengembangkan potensi diri.

Mengulas perkongsian tersebut, moderator merumuskan bahawa kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik atau pengiktirafan yang diterima, tetapi turut bergantung pada keupayaan seseorang mengurus kehidupan, menghargai orang di sekeliling, menghadapi cabaran dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.
Perkara ini turut menekankan bahawa setiap individu mempunyai perjalanan yang berbeza untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, mengenali potensi diri, berusaha secara konsisten dan belajar daripada setiap pengalaman merupakan antara langkah penting dalam pembangunan diri.

Secara keseluruhannya, program Pages Of Wisdom – Human Library Siri 2/2026 memberikan ruang kepada warga UTM untuk mengambil iktibar daripada pengalaman sebenar yang dikongsikan. Perkongsian ini diharapkan dapat menyuntik inspirasi kepada mahasiswa untuk merebut peluang yang tersedia, berani mencuba perkara baharu dan terus melangkah maju dengan usaha yang konsisten.
Melalui penganjuran program seumpama ini, Jabatan Perpustakaan UTM terus menyokong budaya perkongsian ilmu dan pengalaman sebagai medium pembelajaran yang bermakna, sekali gus menyemai kesedaran bahawa setiap individu mempunyai perjalanan tersendiri dalam membina kejayaan.