JOHOR BAHRU, 2 November – Perpustakaan bukan sekadar tempat menyimpan dan membaca buku, malah menjadi ruang yang menawarkan pengalaman pembelajaran, penerokaan ilmu dan interaksi yang lebih dinamik. Keunikan inilah yang diterokai oleh seramai 60 orang delegasi Majlis Felo dan Jawatankuasa Pelajar Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terdiri daripada pelajar Indonesia menerusi kunjungan ke Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS).

Lawatan yang berlangsung dari pukul 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu merupakan sebahagian daripada pengisian Program Synergy Exchange Nusantara: Academic Discovery & Adventure 2026 (SENADA’ 26), yang memberikan peluang kepada para delegasi mengenali dengan lebih dekat peranan dan kemudahan perpustakaan dalam menyokong ekosistem pembelajaran universiti.

Sepanjang lawatan, para delegasi dibawa meneroka beberapa ruang menarik di PRZS, termasuk Galeri Raja Zarith Sofiah yang menampilkan nilai sejarah dan warisan, serta Game Zone yang dilengkapi kemudahan PlayStation 5 (PS5). Selain itu, para delegasi turut berpeluang melihat kemudahan Bilik Karel dan Bilik Perbincangan yang disediakan bagi memenuhi keperluan pembelajaran kendiri serta perbincangan berkumpulan.

Kepelbagaian kemudahan ini memperlihatkan transformasi perpustakaan sebagai sebuah pusat ilmu yang melangkaui fungsi tradisional. PRZS terus menyediakan persekitaran yang kondusif, inklusif dan interaktif bagi menyokong pelbagai keperluan pembelajaran serta aktiviti warga universiti.

Kunjungan menerusi SENADA’ 26 ini diharapkan dapat memberikan pengalaman baharu kepada para delegasi, di samping meningkatkan kesedaran tentang peranan perpustakaan sebagai destinasi ilmu yang menawarkan pelbagai peluang penerokaan, pembelajaran dan perkongsian pengalaman.
Perpustakaan bukan sekadar destinasi membaca, tetapi ruang untuk meneroka, berinteraksi dan mencipta pengalaman ilmu.