JOHOR BAHRU, 30 Oktober – Jabatan Perpustakaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Read & Relax Siri 15/2026 bersempena UTM Book On The Wheel 2026 pada 30 Oktober 2026, dari pukul 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Program yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UTM Library dan YouTube UTM Library TV ini mengetengahkan buku Leaders Eat Last: Why Some Teams Pull Together and Others Don’t karya Simon Sinek.

Sesi perkongsian ilmu ini menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Puan Khairulbahiyah binti Yaakub, Ketua Pustakawan, Jabatan Perpustakaan UTM dan PM Ir. Dr. Mimi Haryani binti Hassim, Pensyarah, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, UTM. Perbincangan dikendalikan oleh Encik Dzulhelmi bin Mohd Razali, Timbalan Pendaftar, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UTM selaku moderator.

Sesi kali ini diadakan bersempena dengan kemuncak Program Book on the Wheel (BOTW)—satu inisiatif pembudayaan membaca berimpak tinggi anjuran Jabatan Perpustakaan UTM yang berlangsung dari bulan Jun hingga Oktober 2026.
Program BOTW ini dilahirkan hasil cetusan idea dan visi berpandangan jauh Pendaftar UTM, Dato’ Shahrum, bertujuan mendedahkan serta menggalakkan warga kerja UTM membudayakan pembacaan kritis dalam kehidupan seharian. Penganjuran BOTW tahun 2026 telah mencatatkan penyertaan yang amat menggalakkan dengan pembentukan 56 buah kumpulan pembaca (setiap kumpulan dianggotai oleh tiga orang staf). Daripada jumlah tersebut, sebanyak 29 buah kumpulan telah berjaya merumuskan dan menterjemahkan karya pilihan mereka secara kreatif menerusi pelbagai bentuk media seperti poster infografik, ulasan video, hingga kepada olahan podcast berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi pemerolehan mata Continuing Professional Development (CPD).

Karya Leaders Eat Last ini diinspirasikan daripada tradisi Kor Marin Amerika Syarikat, di mana pegawai tertinggi dan ketua tentera membiarkan anggota bawahan (prebet, korporal, dan sarjan) beratur untuk mendapatkan makanan terlebih dahulu sebelum mereka menjamah hidangan.

Ahli panel mengaitkan nilai pengorbanan ini dengan analogi seharian seorang ibu di rumah—iaitu bagaimana seorang ibu sentiasa memastikan anak-anak dan suami bersahur atau makan kenyang terlebih dahulu sebelum dirinya sendiri menjamah hidangan. Falsafah ini menegaskan bahawa asas kepimpinan hakiki bukanlah keistimewaan status, sebaliknya keikhlasan dalam mendahulukan kebajikan warga yang dipimpin.

Puan Khairulbahiyah binti Yaakub, Ketua Pustakawan mengupas dengan lebih lanjut pada Bab 2 dalam buku ini iaitu (“Employees Are People Too”) serta studi kes kejayaan CEO Barry-Wehmiller, Bob Chapman:
- Mengurus Manusia, Bukan Sekadar KPI: Kepimpinan tidak harus terhad kepada penguatkuasaan Indikator Prestasi Utama (KPI) yang rigid semata-mata, sebaliknya berfokus kepada pengurusan jiwa insan (managing human).
- Setiap Staf Adalah Ahli Keluarga: Pemimpin perlu menyedari bahawa setiap individu yang melangkah ke pejabat membawa aspirasi dan tanggungjawab keluarga (someone’s son, daughter, husband, or wife).
- Persekitaran Kerja Terpercaya: Tugas pemimpin adalah mewujudkan ekosistem kerja yang ergonomik, kondusif, dan berpaksikan nilai kepercayaan (trust) serta rasa hormat (respect), bukannya kebergantungan kepada insentif imbuhan semata-mata.
Memandang dari sudut pandang warga kerja (employee perspective), PM Ir. Dr. Mimi Haryani mengetengahkan reaksi psikologi staf apabila menerima kepercayaan ikhlas daripada pucuk pimpinan:

- Mengekalkan Kepercayaan (Remain the Trust): Apabila staf dilayan dengan penuh rasa hormat sebagai insan, mereka secara fitrahnya akan melipatgandakan usaha dan prestasi kerja demi mengekalkan kepercayaan yang diberi.
- Lonjakan Komitmen Baharu (Renewed Commitment): Transformasi sesebuah organisasi tidak memerlukan pertukaran tenaga kerja secara drastic, sebaliknya berupaya dicapai menerusi suntikan komitmen dan semangat baharu staf sedia ada menerusi kepimpinan berhemah.
- Berprasangka Baik (Believing in the Goodness of People): Memetik contoh kestabilan sistem pengangkutan di Finland yang dibina atas dasar kebolehpercayaan tinggi (trust system) tanpa kawalan tiket yang ketat, beliau mengesyorkan agar pemimpin sentiasa yakin dengan fitrah kebaikan manusia sebelum membuat andaian negatif.
Sesi perbincangan turut mengupas Bab 6 yang mengaitkan fungsi hormon (seperti endorfin) dengan prestasi kepimpinan. Barisan panel menyamakan seni kepimpinan dengan seorang pelari jarak jauh (maraton)—kejayaan kepimpinan bukanlah sifat semula jadi sejak lahir (born leader), sebaliknya merupakan satu kemahiran yang boleh dilatih, dipupuk, dan dibentuk menerusi disiplin persediaan serta pembacaan yang berterusan.

Sesi Read & Relax Siri ke-15 ini membuktikan bahawa amalan membaca di UTM bukan sekadar usaha mengejar matriks peratusan atau statistik angka pembaca semata-mata, malah berfungsi sebagai platform refleksi kendiri yang amat bermakna.
Melalui perkongsian kritis karya Leaders Eat Last, Jabatan Perpustakaan UTM berharap agar ikhtibar dan falsafah kepimpinan ini dapat diterapkan dalam kalangan warga universiti demi membina persekitaran kerja yang harmoni, berintegriti, dan berprestasi tinggi.