
Perkongsian kali ini mengupas karya pilihan bertajuk Kidalton, sebuah kumpulan cerpen hasil penulisan Dr. Zulkifli Khair. Kidalton membawa pembaca mengenali sebuah kota fiksyen yang dihuni oleh masyarakat bertangan kidal. Kota tersebut menjadi simbol kepada keunikan dan perbezaan individu yang sewajarnya dihargai, bukannya dijadikan alasan untuk diskriminasi. Menghimpunkan 15 buah cerpen yang dihasilkan sejak tahun 1995, karya ini mengangkat pelbagai bidang ilmu termasuk agama, falsafah, sains dan kejuruteraan melalui pendekatan sastera yang sarat dengan nilai kemanusiaan, pemikiran kritis dan mesej sosial.

Antara perkara yang diketengahkan dalam sesi perkongsian ialah kepentingan mengangkat suara golongan minoriti dan rentan, khususnya golongan orang kurang upaya (OKU). Penulis turut berkongsi kisah berkaitan individu OKU yang mempunyai keupayaan serta sumbangan besar kepada masyarakat, sekali gus menekankan bahawa mereka wajar diberikan peluang dan ruang untuk menyerlah. Perbincangan turut menyentuh isu disleksia serta kisah kejayaan Dr. Ruzimi Mohamed @ Mahmood, alumni UTM yang merupakan seorang individu OKU dan berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Komputer. Kisah beliau menjadi contoh bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kejayaan. Perkongsian ini turut menekankan kepentingan memberikan peluang, sokongan dan ruang kepada golongan OKU untuk mengembangkan potensi serta menyumbang kepada masyarakat. Selain itu, karya ini turut menyentuh isu kemanusiaan sejagat termasuk perjuangan pembebasan Al-Quds serta kisah inspirasi anak Malaysia yang mencapai kejayaan pada peringkat antarabangsa.

Selain mengangkat isu kemasyarakatan, Kidalton turut mengetengahkan nilai keinsafan dan keagamaan menerusi kisah tentang seseorang yang kembali kepada jalan taubat pada usia tua. Cerpen tersebut membawa mesej bahawa pintu taubat sentiasa terbuka kepada mereka yang benar-benar ingin memperbaiki diri dan kembali kepada Allah SWT. Dalam sesi yang sama, Dr. Zulkifli turut berkongsi tentang karya cerpen beliau yang bakal diterbitkan pada masa akan datang, antaranya sebuah cerpen bertajuk Anak Melayu Menjadi Juara MMA. Kepelbagaian tema ini memperlihatkan bagaimana karya sastera mampu menjadi medium untuk menyampaikan kritikan sosial, menyemai nilai murni serta mengajak masyarakat melihat sesuatu isu daripada perspektif yang lebih luas.

Secara keseluruhannya, program Beyond the Book @ Snapbuy telah memberikan ruang kepada warga UTM untuk mengenali dengan lebih dekat proses kreatif dan pemikiran di sebalik penghasilan sesebuah karya. Perkongsian ini turut membuktikan bahawa buku bukan sekadar himpunan tulisan, malah berperanan sebagai wadah penyampaian ilmu, pengalaman dan nilai kemanusiaan yang mampu membentuk pemikiran masyarakat. Jabatan Perpustakaan UTM merakamkan penghargaan kepada Dr. Zulkifli Khair, moderator serta Penerbit UTM Press atas perkongsian dan kerjasama yang diberikan. Diharapkan program seumpama ini dapat terus menyemarakkan budaya membaca, memperkasa apresiasi terhadap karya tempatan dan menggalakkan perkongsian ilmu dalam kalangan warga universiti.